CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi menterinya, Fadhlina Sidek telah menganjurkan pertemuan dengan 16 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), semalam, bagi membincangkan pelbagai perkara mengenai pendidikan negara.
Dalam kenyataan media hari ini, KPM berkata pertemuan ini antara lain turut membincangkan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi, pelaksanaannya dan beberapa perkara lain.
“Pertemuan berlangsung dalam suasana muhibah, mencerminkan keterbukaan, kesepakatan dan komitmen semua pihak dalam membina Malaysia MADANI berdasarkan kepada formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
“KPM akan melaksanakan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam sahaja.
“Projek rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan dikembangkan ke sekolah-sekolah dan kelas daripada mata pelajaran Pendidikan Islam sahaja,” katanya.
KPM turut menjelaskan pelaksanaan inisiatif Penghayatan Modul Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk murid beragama Islam sahaja dan tidak akan melibatkan murid bukan Islam.
“Penghayatan Hadis 40 ini juga penting serta signifikan untuk menangani gejala radikalisme dan ekstremisme dalam masyarakat.
“KPM komited untuk melaksanakan inisiatif Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kerana ia akan memberi impak positif serta gambaran sebenar mengenai nilai-nilai kesejagatan Islam serta pengamalannya dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
“Sesi pertemuan seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi menyampaikan maklumat tepat mengenai inisiatif-inisiatif KPM.
“Ruang dialog juga dibuka seluasnya selaras dengan salah satu teras utama KPM iaitu untuk memperkasa komunikasi antara kementerian dengan setiap pemegang taruh,” kata kenyataan itu lagi.