170 banduan dibebaskan secara berlesen sempena Hari Kebangsaan ke-66

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 170 banduan dibebaskan secara berlesen pada Rabu di lima negeri di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Kebangsaan kali ke-66.

Lima negeri yang terlibat ialah Melaka, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Di MELAKA, sebanyak 36 banduan dibebaskan awal di bawah PBSL Ihsan MADANI dan 21 daripada mereka diambil bekerja oleh majikan manakala enam banduan akan dibawa pulang keluarga masing-masing dan sembilan akan ditempatkan di rumah perantaraan (RP).

Timbalan Pengarah Sungai Udang Melaka, Penolong Kanan Komisioner Penjara, Mohd Hafizey Yahaya berkata, kesemua banduan berkenaan melibatkan pesalah kes dadah sama ada mengedar, menagih atau urin positif yang menerima hukuman penjara di bawah tempoh tiga tahun.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, sejak 1 Januri lepas hingga hari ini seramai 282 banduan dibebaskan awal di bawah program sama dan 91 daripada mereka telah diambil bekerja di bawah program Latihan Pintar Korporat (CSI) dengan pihak industri.

Program PBSL ini merupakan antara komitmen Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkasakan Pemulihan Dalam Komuniti dan merupakan langkah untuk pengintegrasian semula penghuni di dalam masyarakat dan kesesakan dalam penjara.

Pada peringkat awal PBSL ini dilaksanakan kepada penghuni yang menjalani hukuman satu tahun dan ke bawah tetapi bermula pada Julai yang lepas, program tersebut diperluaskan lagi kepada penghuni penjara yang menjalani hukuman tiga tahun dan ke bawah.

Sementara itu, di PERAK, seramai 29 banduan dilepaskan secara berlesen di Penjara Taiping, Taiping.

Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Zawari Abd Rashid berkata, kesemua mereka yang dilepaskan sekiranya tiada keluarga atau tidak diambil bekerja akan diletakkan di rumah perantaraan sementara menunggu.

Di PAHANG, seramai 43 banduan termasuk empat wanita dilepaskan terdiri daripada 27 penghuni Penjara Penor di Kuantan manakala baki dari Penjara Bentong.

Timbalan Pengarah Penjara negeri, Raja Mohd Amazon Raja Daud berkata, secara keseluruhan seramai 585 banduan telah dilepaskan menerusi PBSL di Pahang setakat ini.

Di PULAU PINANG, 16 banduan diberikan pelepasan dan empat daripadanya akan diserahkan kepada keluarga manakala selebihnya majikan.

Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamad Jusoh Ismail berkata, kesemua mereka yang dibebaskan hari ini bersempena ulang tahun kemerdekaan ke-66, berpeluang balik ke pangkuan keluarga serta bekerja lebih awal berbanding tempoh hukuman mereka yang dijadualkan Februari nanti.

Beliau berkata setakat, ini seramai 256 banduan telah dibebaskan di bawah program PBSL Ihsan MADANI.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 46 banduan dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu dilepaskan secara berlesen.

Penolong Kanan Komisioner Ahmad Mustaqim Che Bisi berkata, kolaborasi strategik di antara pihak Jabatan Penjara bersama pihak industri ini melalui inisiatif CSI membolehkan Orang Bebas Berlesen (OBB) ini ditempatkan di dalam industri dengan jaminan pekerjaan serta penempatan sehingga selesai tempoh hukuman.

“Saya juga amat terharu dengan dukungan yang turut ditampilkan oleh pemain industri di negeri ini,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat