KUALA LUMPUR- Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegaskan semua cerdik pandai dalam Perikatan Nasional (PN) tidak berani membentang agenda ekonomi mereka.
Kata Rafizi, tiga ajakan debat beliau ditolak pimpinan PN, beliau sekali gus menganggap mereka sekadar sembang kencang.
“Saya dah hantar surat kepada Ahli Parlimen Bachok yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, Syahir Sulaiaman.
“Daripada mantan menteri ekonomi PN ke panglima PN ke ekonomis teknokrat paling cerdik PN – semua tidak berani bentang agenda ekonomi mereka.
“Nak ke bulan konon nak menang, perancangan rakyat tak keruan sembang kencang,” bidas Timbalan Presiden PKR itu dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Sebelum ini, Rafizi telah mempelawa Bekas Menteri Kanan Kluster Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat namun pelawaan beliau itu diterima dengan bersyarat iaitu Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu beliau telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.
Pelawaan debat kedua pula diajukan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor namun ia juga ditolak.
Sanusi berkata perdebatan tersebut tidak akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Hari ini, Syahir pula menolak ajakan Rafizi kerana mengikut jejak Sanusi.
“Saya telah menerima emel daripada Pejabat Menteri Ekonomi, dan saya telah memberikan jawapan.
“Dalam tempoh ini, saya menurut jejak ‘senior’ saya, YAB Sanusi. #MasaUntukBekerja,” ujar Syahir.
Ahli Parlimen Bachok itu turut membalas pantun Rafizi,”Hati-hati seberang titi, bawa bersama sarang tempua, hafal sifir lekat di hati, jangan lupa teknik formula”.
“Semalam Rafizi kata tak nak pantun, nak idea.
“Tetapi hari ini dia pula jual pantun. Tidak mengapa, U-Turn yang dimaafkan,” katanya.