KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh musnah dengan sendiri sekiranya ia membuat dasar yang bertentangan dengan nilai-nilai asasnya.
Veteran DAP, Lim Kit Siang menyatakan, pandangan terhadap kerajaan perpaduan Anwar kelihatan positif, tetapi kerajaan ini perlu berhati-hati untuk tidak merosakkan dirinya sendiri dengan melaksanakan dasar-dasar yang bertentangan dengan nilai terasnya dan juga prinsip-prinsip asas pembinaan negara majmuk Malaysia yang didokong oleh empat presiden terawal Umno.
“Kerajaan perpaduan Anwar perlu memasuki pilihan raya umum di enam negeri — Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu — pada bulan Julai/Ogos untuk menegakkan prinsip-prinsip awal negara — demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, dan “perpaduan dari kepelbagaian” — yang dibawa oleh tiga orang Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn.
“Ini supaya Malaysia tidak menjadi sebuah negara teokratik, berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057,” kata Kit Siang pada Selasa.
Menurut beliau lagi, Malaysia mampu menjadi contoh tauladan persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara kaum, agama, budaya, dan tamadun, atau seperti yang dikatakan oleh Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
“Bersatu dan PAS tidak ada apa-apa untuk ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama, dan kawasan mengenai masa hadapan negara,” tegasnya.
Tambah Kit Siang, semalam beliau telah menyatakan keyakinan bahawa Kerajaan Perpaduan Anwar dapat bertahan selama lima tahun dan menyatakan kadar ketahanan seperti berikut iaitu 90 peratus kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk setahun; 80 peratus kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk tiga tahun; dan 70 peratus kemungkinan Anwar bertahan sebagai Perdana Menteri untuk penggal penuh lima tahun.
“Saya menekankan bahawa unsur yang penting yang akan menentukan sama ada Anwar akan dapat bertahan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 adalah sama ada Umno dapat memainkan peranan untuk menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip-prinsip asal sebuah negara Malaysia yang majmuk seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara — Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, badan kehakiman yang bebas, Islam sebagai agama rasmi dengan kebebasan untuk agama-agama lain, tadbir urus baik, integriti awam dengan rasuah yang minima, sebuah kerajaan yang jujur dan bersih, meritokrasi, hormat terhadap hak asasi manusia, usaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan ketidakadilan dalam negara, sistem ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial yang bertaraf dunia, dan perpaduan negara, persefahaman, dan keharmonian dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya.
“Saya juga telah mengatakan yang “prestasi buruk Umno dalam PRU15 menjadi bukti bahawa kepercayaan yang pengundi Melayu akan kekal setia dengan Datuk Seri Najib Razak walaupun selepas disabitkan dengan pelbagai pertuduhan berkaitan dengan 1MDB adalah satu kesilapan, kerana sekiranya perkara ini betul, Umno sepatutnya menyaksikan kebangkitan dan bukannya kekalahan besar dalam pilihan raya umum pada November tahun lepas,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Kit Siang memberitahu Umno telah kalah dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk oleh PAS dan Bersatu kerana mereka dilihat sebagai lebih “bersih dan suci” berbanding dengan Umno.
“Tetapi perkembangan selepas PRU15 telah menunjukkan yang PAS dan Bersatu bukanlah pewaris kerajaan jujur dan bersih yang dibawa oleh empat Presiden terawal Umno — Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein, dan Hussein Onn.
“Bersatu kini ada skandal rasuah yang lebih besar berbanding dengan skandal 1MDB — skandal Jana Wibawa yang melibatkan RM7.2 billion — manakala PAS pula telah mengambil pendirian mengejutkan dengan mengatakan yang rasuah disebabkan oleh orang bukan Islam — mengetepikan negara seperti China, India, dan Indonesia yang berjaya menunjukkan kemajuan dalam usaha memerangi rasuah berbanding dengan Malaysia dalam tiga dekad yang lepas,” kata beliau.
Selain itu, dari prestasi para pemimpin dan Ahli-ahli Parlimen PN sepanjang sidang Parlimen selama lapan minggu.
“Kita dapat lihat yang mereka bukan sahaja telah mengabaikan nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memastikan adanya kestabilan politik supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara hebat sekali lagi, mereka juga tidak mempunyai sebarang rasa bersalah untuk bergantung dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu untuk merosakkan perpaduan negara dengan mempolarisasikan hubungan antara kaum dan agama.
“Seperti yang dapat dilihat dari tuduhan liar dan tidak masuk akal oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang mengatakan kononnya DAP mempromosikan Islamofobia dan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang membuat dakwaan bahawa terdapat rakyat yang terpaksa menjual buah pinggang mereka untuk kelangsungan hidup, sedangkan kedua-dua tuduhan ini gagal dibuktikan mereka,” katanya.