Laporan akhir nahas Sabah Air 1976 akan didedahkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Laporan akhir siasatan nahas udara membabitkan pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang mengorbankan ramai pemimpin utama Sabah akan dinyahklasifikan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu laporan penuh berhubung kemalangan udara itu akan didedahkan kepada umum selewat-lewatnya minggu depan.

“Selama ini, kerajaan tidak memutuskan untuk menghebahkan (laporan ini) di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Hari ini, Jemaah Menteri mengambil pandangan dikemukakan rakyat Sabah selama bertahun-tahun dan tuntutan dibuat waris serta selari dengan dasar keterbukaan diamalkan Kerajaan Perpaduan, kita putuskan untuk nyahklasifikasi laporan terbabit,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.

Kerajaan sebelum ini diminta mempertimbangkan untuk mendedahkan hasil siasatan mengenai tragedi nahas terbabit atau lebih dikenali ‘Double Six’ bagi meleraikan keraguan berhubung insiden yang berlaku 47 tahun lalu itu.

Tragedi itu mengorbankan Ketua Menteri Sabah pertama, Tun Mohammad Fuad Stephens, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki beliau bersama rombongan beberapa anggota Kabinet negeri terhempas di perairan Sembulan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, laporan penuh siasatan tragedi terbabit akan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Ini menjadi suatu isu panas di Sabah yang begitu lama, terkait dengan siasatan kemalangan udara pesawat Sabah Air dan isu ini menimbulkan banyak persoalan serta keresahan.

“Saya tak percaya bahawa penemuan fakta yang menjadi kepentingan kepada keluarga, negeri dan orang awam perlu disimpan di sebalik Akta Rahsia Rasmi,” katanya.

Pada 6 Jun 1976, Fuad menaiki pesawat GAF Nomad buatan Australia dari Labuan ke Kota Kinabalu untuk menghadiri jamuan rasmi dengan Menteri Kewangan Persekutuan dan Pengerusi PETRONAS, Tengku Razaleigh Hamzah di Istana Negeri.

Bagaimanapun, pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika ia menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Tragedi itu turut mengorbankan Menteri Kewangan negeri, Datuk Salleh Sulong; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Peter Mojuntin; Menteri Kerja Raya dan Komunikasi negeri, Datuk Chong Tien Vun; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Darius Binion serta Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan negeri, Datuk Wahid Peter Andu.

Turut terbunuh, Dr Syed Hussien Wafa (Pengarah Unit Perancangan Ekonomi), Ishak Atan (Setiausaha Sulit Tengku Razaleigh Hamzah), Kapten Gandhi Nathan (juruterbang), Koperal Said Mohamed (Pengawal Tun Fuad) dan Johari Stephens (anak sulung Tun Fuad).

Fuad ketika itu menjadi Ketua Menteri Sabah buat kali kedua selepas Pilihan Raya Umum pada 1976 apabila Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) diterajui beliau berjaya membentuk kerajaan menggantikan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Fuad (yang juga mantan presiden Pertubuhan Bersatu Pasokmomogun Kadazan – UPKO) maut dalam tragedi itu selepas 44 hari pelantikannya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat