Semua Aktiviti Gali Pasir Dan Mineral Dihentikan Elak Tasik Chini Dilucutkan Status UNESCO

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menghentikan semua aktiviti termasuk kelulusan baru untuk pengambilan pasir dan mineral yang boleh menjejaskan Tasik Chini.

Menteri KeTSA, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata tindakan tegas itu diambil bagi memastikan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) dapat dikekalkan.

Beliau berkata, ia susulan laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), yang menyebut Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

“Beberapa tindakan sama ada oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri sudah diambil bagi mengelak Tasik Chini dilucutkan status UNESCO.

“Maklumat terperinci mengenai perkara ini, akan saya jelaskan di Parlimen, esok. Namun, apa yang boleh saya katakan, kita sudah mengambil tindakan bagi memastikan Tasik Chini dikekalkan status,” katanya lapor BH di Kelantan pada Rabu.

Takiyuddin menyatakan, antara tindakan diambil ialah menghentikan segala kegiatan yang boleh menjejaskan Tasik Chini dan tiada lagi kelulusan baru serta apa-apa usaha untuk membangunkan kawasan berkenaan, termasuk mengambil pasir dan mineral.

“Jadi, arahan tegas daripada kerajaan adalah tidak ada kelulusan baharu untuk pengambilan mineral dan galian di Tasik Chini,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi.

Terdahulu, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya pajakan lombong di Tasik Chini yang tamat tempoh, tidak disambung dan kawasan itu dihijaukan semula dengan segera.

Baginda juga mahu mahu kerajaan negeri lebih agresif memastikan Tasik Chini dapat dipulih dan dihijaukan semula susulan laporan berkala UNESCO yang mendapati Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian WNBR.

Hasil tinjauan berkala pertama oleh UNESCO, baru-baru ini meletakkan Tasik Chini dalam risiko dilucutkan status itu, namun badan dunia itu memberi tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia memaklumkan perancangan merawat dan memulihkan tasik terbabit serta tanah lembap di sekelilingnya supaya kembali sihat.

Berikutan itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memberi jaminan semua langkah pemulihan dan penambahbaikan untuk mengekalkan status Tasik Chini sebagai sebahagian daripada WNBR akan disiapkan sebelum 30 September ini.

Beliau juga menegaskan, Kerajaan Pahang komited memastikan status seperti ditetapkan UNESCO untuk pengiktirafan WNBR kekal.