PETALING JAYA – Tiada istilah “surah akhir” berhubung kerjasama antara PAS dan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) seperti didakwa pemimpin Umno sebelum ini, kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah.
Katanya, kerjasama politik antara parti besar Melayu diperlukan untuk membentuk kestabilan negara pada masa depan, justeru sehingga kini PAS kekal istiqamah dengan kerjasama itu.
“Semua itu terpulang kepada Umno sama ada mahu tutup buku atau sebaliknya berkait dengan kerjasama MN.
“PAS belum tutup buku (kerjasama), sebab itulah masa Umno putuskan hubungan dengan PAS di Kelantan kita tidak memberikan sebarang komen,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
- PRN Melaka: Pemimpin PAS Kecewa Ahli Sokong BN, Akan Saran Parti Pecat Keahlian
- PRN Melaka: Ahli PAS Sepatutnya Akur Keputusan Bersama PN – Pesuruhjaya PAS Melaka
- ‘UMNO Berkluster’ Susahkan Rakyat, Hadi Akui BN Dah Tak Relevan
- MN Formula Terbaik, PAS Tak Bersedia Putus Hubungan Dengan UMNO – Hashim Jasin
- Pemimpin PAS Gesa Muhyiddin Berterus Terang Isu Kerjasama Dengan DAP, PKR
Terdahulu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dilaporkan berkata, tindakan PAS tidak menepati janji dan bersikap tidak konsisten adalah punca kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) “tergelincir” kerana parti itu tetap memilih untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Umno turut dipersalahkan sehingga dianggap mengkhianati MN sedangkan PAS menolak kerjasama dengan Umno dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka tahun lalu selepas diminta menggunakan lambang sendiri, bukannya PN.
“Sebenarnya kita tidak pernah pun tinggalkan mereka. Mereka yang tinggalkan MN. Mereka yang sekejap begitu, sekejap begini.
“Tetapi kemudiannya mereka pula kata kita yang khianat. Itu yang pelik. Umno tak pernah khianati MN. Itu sebabnya bila orang tanya saya pasal MN, saya kata MN ini sudah sampai kepada ‘surah akhir’ kita. Cuma sama ada nak khatam atau tidak sahaja.
“Kalau nak khatam, khatamlah. Kalau tidak, kita sambung baca lagi,” katanya. – FMT