KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini secara terbuka mengakui kecewa dan kurang senang dengan ‘UMNO berkluster’ kerana katanya kelompok ini sengaja menyusahkan rakyat melalui siri Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tidak berkesudahan.

Beliau mengkategorikan UMNO berkluster ini sebagai kluster mahkamah, kluster kalah PRU-14 dan kluster tidak ada jawatan yang didakwanya mencetuskan kacau ganggu dalam politik negara.

“Strategi buat pilihan raya negeri-negeri ini bukan strategi yang baik tapi dilakukan. Kita tahu yang buat strategi ini kluster mahkamah, kluster yang kalah PRU-14, kluster yang tak ada jawatan tapi bukan semua dalam UMNO kluster ini.

“…yang (kluster) mahkamah ini kita tak anggap dia bersalah, orang yang dituduh belum bersalah kalau kita ada moral lawan di mahkamah jangan susahkan rakyat dengan pilihan raya, nak selamatkan diri, susahkan rakyat, lawan di mahkamah kalau kita betul, jangan takut.

“Manakala kluster kalah tu tunggulah pilihan raya, sabarlah ni buat negeri-negeri. Saya kecewa dengan ‘UMNO kluster’ main politik tak sihat,” bidas Hadi di Terengganu pada Jumaat.

Sementara itu Hadi menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) sudah tidak relevan sebab itu PAS mahukan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) terus diperjuangkan.

“Bagi kita BN tidak relevan lagi, dulu Perikatan tak relevan buat BN, BN tak relevan buatlah PN, itu senario politik yang kita kena faham dan kita terus memperjuangkan ini.

“Tapi malangnya kita bukan nak ajar itik berenang, kita nak selamatkan itik yang patah kaki dalam PRU-14, kita selamatkan itik patah kaki manakala bila kaki dah sembuh dia nak berenang sendiri, nak tinggal kita, jadi ini satu perkara yang tak bermoral, tak betul,” tempelak Presiden PAS itu.

Ujar Hadi PAS akan meneruskan MN dan PN yakni termasuk Bersatu.

Hal ini katanya, PAS ada bukti kerana perjuangan ini bertujuan menyatukan ummah bukan saja orang Melayu tetapi ia termasuk masyarakat majmuk .

“Maka perpaduan kita bukan perpaduan PAS dan UMNO sahaja mesti melibatkan Bersatu bahkan ada surat yang kita tandatangan Presiden PAS sign, Presiden UMNO sign jemput Bersatu ikut sekali dalam MN… ada surat, kita dah bersetuju dan MN kita tubuhkan ini untuk masyarakat majmuk bukan Melayu sahaja.

“Kalau PAS dengan UMNO sahaja kira orang Melayu lah mana kaum lain? kata Hadi mempersoalkan tindakan UMNO.

Mengulas PRN Johor, Hadi bertegas PAS akan meneruskan rundingan dan tentunya akan bertanding.

“Kita memang ada rundingan dengan BN, tunggu dan lihat.

“Tentang tawaran empat kerusi DUN di Johor itu, kita bukan minta sedekah kerusi-kerusi ini.

” PAS ada kekuatan sendiri,” kata Ahli Parlimen Marang itu lagi.