Pemimpin PAS Gesa Muhyiddin Berterus Terang Isu Kerjasama Dengan DAP, PKR

- Advertisement -

PETALING JAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bersikap jujur dan berterus terang kepada Pas berhubung hala tuju kerjasama politik mereka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sedik berkata, malah Pas tidak wajar diheret sama di bawah khemah besar atau kerjasama persefahaman pilihan raya antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pembangkang sekiranya melibatkan hubungan dengan DAP dan PKR.

Tegas beliau, hal ini kerana kebanyakan akar umbi Pas tidak boleh langsung menerima kehadiran DAP dan PKR dalam mana-mana kerjasama politik melainkan dengan parti Melayu Islam.

“Bagaimanapun jika membabitkan urusan Bersatu sahaja, itu terserahlah kepada mereka, saya fikir Pas tidak campur tangan, ini hak parti itu untuk berunding dengan mana-mana pihak tetapi jangan sampai mengheret nama Pas dan Perikatan Nasional (PN).

“Tetapi jika dengan parti-parti Melayu seperti Pejuang, saya berpandangan Pas terbuka dalam soal ini kerana kita tidak ke tahap jumud dalam meneruskan hubungan politik berteraskan Melayu Islam,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin mengakui beliau pernah berjumpa dengan beberapa pimpinan parti-parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi PRU15.

Ahli Parlimen Pagoh itu menjawab kenyataan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang mendakwa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya menjadi Perdana Menteri semula.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meminta tindakan Muhyiddin itu dirujuk kepada pemimpin UMNO yang sibuk pertahankan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau diminta mengulas kesan dihadapi Bersatu ekoran tindakan Muhyiddin yang melakukan rundingan dengan parti pembangkang dalam BN pada menghadapi PRU15.

“Rasanya lebih baik bertanya dengan kawan-kawan yang pertahankan MoU,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat