KUALA LUMPUR – Pimpinan UMNO yang dilabel “soleh” oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan sebenarnya lebih kepada pengkhianat parti,” tegas Isham Jalil.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor itu meminta Wan Saiful mendedahkan identiti “UMNO soleh” yang dikatakan menghubungi Bersatu memaklumkan mereka sedang menyusun strategi membetulkan UMNO dari landasan yang salah.
” Wan Saiful, bagilah tahu siapa dia orang “UMNO soleh” yang hubungi kamu dan kata dia sedang rangka strategi dari dalam untuk sokong kamu itu.
“Akar umbi UMNO dan kepimpinan UMNO sudah buat keputusan sehingga ke peringkat Majlis Tertinggi (MT) untuk tidak bekerjasama dengan kamu (Bersatu).
“Oleh itu sesiapa yang sedang rangka strategi dari dalam UMNO untuk bercanggah dengan keputusan ini dan menyokong pihak lawan bukanlah “UMNO soleh”, tetapi sebaliknya itu pengkhianat namanya. Saya pun nak tahu juga siapa si kitol itu,” bidas Isham.
Sebelum itu, Wan Saiful dilaporkan berkata beliau dihubungi beberapa pemimpin daripada kumpulan ‘UMNO soleh’ menyatakan mereka sedang menyusun strategi untuk membetulkan Umno dari landasan yang salah.
Wan Saiful berkata, beliau mengiktiraf kewujudan kumpulan yang baik itu dalam UMNO dan mengakui mereka mempunyai sikap berbeza daripada kluster mahkamah.
“Saya tak tahu apa nak panggil golongan ini. Kita katalah mereka ini “UMNO soleh”.
“Ada beberapa tokoh “UMNO soleh” hubungi saya menyatakan bahawa mereka sedang menyusun strategi untuk membetulkan Umno dari landasan yang salah.
“Jadi mereka cadangkan saya tidak menyerang UMNO sebab mereka sedang buat kerja dari dalam,” dakwanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun Wan Saiful berkata, apa yang menjadi masalah apabila “UMNO soleh” itu diam membisu membenarkan kluster mahkamah menunggang Umno untuk melanggar semua orang lain.
“Mereka ini perlu berlaku adil. Kenapa pula meminta supaya orang lain berhenti menyerang Umno, sedangkan apabila penyokong kluster mahkamah dalam UMNO bersikap biadap terhadap terhadap kami mereka tidak menegur kebiadapan itu?
“Jangan tegur orang lain saja, tapi tegurlah orang dalam UMNO itu juga,” katanya.