KUALA LUMPUR: Landskap kehidupan rakyat Malaysia pasca COVID-19 menuntut norma baharu, sekali gus keterbatasan pergerakan dan penjarakan fizikal yang perlu diamalkan setiap masa dan di mana sahaja.
Namun, ia tidak sesekali menyekat kreativiti syarikat produksi animasi, WAU Animation dalam menghasilkan filem animasi berkualiti.
Meskipun dalam keterbatasan menghasilkan karya animasi dari rumah, selain kekurangan kelengkapan teknologi yang baik, namun filem pendek Ejen Ali Misi: Juang terbitan WAU Animation dan Primeworks Studios (PWS) tetap melakar kecemerlangan apabila mengungguli kategori Program Televisyen (TV) Kanak-Kanak Animasi 3D Terbaik pada Anugerah Kandungan Asia 2021 di Singapura pada 27 Ogos lalu.
Malah, filem animasi pendek berdurasi 3.22 minit berjaya meraih lebih 17 juta tontonan menerusi saluran YouTube sejak dilancarkan pada 25 Disember, tahun lalu.
Filem pendek Ejen Ali Misi: Juang yang mendapat sokongan kempen perkhidmatan awam itu dihasilkan bagi memberi penghormatan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19.
Ketua Pegawai Operasi WAU Animation yang juga penerbit Ejen Ali, Faiz Hanafiah berkata, penggiat industri animasi masih bernasib baik memandangkan boleh bekerja dari rumah berbanding penggiat seni kreatif lain yang hilang punca pendapatan.
“Tidak menafikan, kami antara penggiat seni kreatif terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak tahun lalu.
“Namun, industri animasi masih beruntung kerana hanya memerlukan komputer dan internet menghasilkan karya, tiada keperluan menjalani penggambaran dijalankan di luar studio.
“Bagaimanapun, masalah tetap ada membabitkan segi sokongan kewangan. Tetapi, saya percaya semua industri terkesan dengan COVID-19.
“Alhamdulillah, kami berjaya menyiapkan filem pendek Ejen Ali Misi: Juang sehingga berjaya meraih anugerah dan tontonan yang tinggi walaupun projek dihasilkan dari rumah,” katanya kepada BH Online.
Kongsi Faiz, antara cabaran dilalui pasukan animasi WAUriors sepanjang bekerja dari rumah adalah kekurangan kelengkapan teknologi yang baik.
“Tidak semua ahli pasukan mempunyai komputer dan sambungan internet baik. Contohnya, ada yang tinggal di kawasan sukar mendapat jaringan internet yang baik.
“Ini antara cabaran utama dalam menjayakan produk animasi. Jadi, jujurnya bukan mudah, tetapi perlahan-lahan kami cuba memperkemaskan aturan kerja dari rumah.
“Namun, saya terharu apabila pasukan WAUriors bersemangat menyiapkan setiap produk termasuklah filem pendek Ejen Ali Misi: Juang. Kami mempunyai visi sama untuk memberikan hasil karya terbaik,” katanya.

Sehingga kini, katanya, pasukan WAUriors masih 100 peratus bekerja dari rumah.
Berkongsi idea penghasilan Ejen Ali Misi: Juang, Faiz berkata, pasukannya menghasilkan filem pendek dengan harapan dapat memberi suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan.
“Mesej yang ingin disampaikan adalah rakyat Malaysia perlu bersatu tanpa mengira latar belakang dan berusaha berdepan situasi pandemik COVID-19.
“Ia selepas melihat masyarakat perlu menjalani PKP, melihat petugas barisan hadapan seperti Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bekerja keras menyelamatkan nyawa dan mengingatkan kita menjaga prosedur operasi standard (SOP), setiap masa sejak tahun lalu.
“Dari situlah, kami berfikir apa yang boleh dilakukan sebagai syarikat yang menghasilkan animasi. Ekoran itu, kami cuba memberikan suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan menerusi penghasilan sinematik animasi.
“Usaha penghasilan karya ini bermula pertengahan tahun lalu dan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan,” katanya.
Katanya, filem dan siri Ejen Ali musim pertama dan kedua sudah ditayangkan di platform Disney+Hotstar Malaysia dan Indonesia sejak Jun lalu.
“Insya-Allah, ia akan ditayangkan di beberapa negara Asia Tenggara lain, tidak lama lama menerusi platform sama.
“Filem dan siri Ejen Ali berjaya menembusi pasaran China dan ditayangkan di platform Tencent Video, tahun lalu. Jadi seterusnya, kami mahu Ejen Ali ke platfrom penstriman lain seperti Taiwan dan Russia.
“Sebelum kemenangan pada Anugerah Kandungan Asia 2021, kami terpilih dalam tontonan awam di Festival Fantaspoa, Brazil pada April lalu.
“Ia antara pencapaian membanggakan buat WAU Animation dan PWS,” katanya yang menyifatkan kejayaan itu sebagai kerja keras pasukan WAUriors.
Sebelum itu, filem Ejen Ali The Movie pernah dinobatkan sebagai Filem MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era (AME) pada 2020.
Faiz ditemui menerusi sidang media secara virtual, baru-baru ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Penjenamaan WAU Animation yang juga pengarah seni Ejen Ali, Fuad Md Din.
Sidang media diadakan sempena kemenangan filem pendek Ejen Ali Misi: Juang menerusi kategori Program Televisyen (TV) Kanak-Kanak Animasi 3D Terbaik pada Anugerah Kandungan Asia 2021 di Singapura, bulan lalu.

Faiz berkata, pasukannya mengalu-alukan sekiranya ada pihak mahu menjalinkan kerjasama dengan menghasilkan produk seterusnya.
“Kami mengharapkan jemputan “partnership’ baharu untuk projek akan datang. Kami terbuka sekiranya ada pihak yang mahu bekerjasama dengan Ejen Ali,” katanya.
Baru-baru ini, Durio PPE Sdn Bhd, pengeluar terbesar pelitup muka berkolaborasi dengan Ejen Ali mengeluarkan pelitup muka pembedahan empat lapis kanak-kanak bertema siri animasi popular itu.
Pelancaran reka bentuk baru Ejen Ali x Durio Pelitup Muka Pembedahan itu berdasarkan animasi pendek Ejen Ali Misi: Juang.
Akan datang, Ejen Ali akan tampil dengan jongkong emas edisi khas. Ia khas untuk orang ramai yang mahu menjadikan jongkong emas sebagai simpanan pada masa hadapan.
Mengulas mengenai harapan, Fuad tidak menafikan, pasukannya mensasarkan menembusi pasaran Hollywood.
“Impian kami mahu ke Hollywood dan menembusi pencalonan Anugerah Oscars sebaris dengan produk animasi bertaraf antarabangsa.
“Cuma, kami belum menemui peluang, jadi fokus kami menghasilkan animasi terbaik dahulu. Jika ada rezeki, kami pastinya kami tidak akan melepaskan peluang.
“Kami juga mahu mencuba sekiranya berpeluang bekerjasama dengan karakter terkenal seperti bintang K-Pop. Namun, buat masa ini, belum ke arah itu,” katanya.
Terdahulu, Ejen Ali ditayangkan lebih dari 50 negara Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika Utara, India, China dan Amerika Utara sejak siaran di TV3 pada 2016.
Tayangan perdana Ejen Ali The Movie pada 2019 mendapat kutipan lebih RM30 juta selepas enam minggu di pawagam. Ia adalah filem ketiga terlaris sepanjang zaman di Malaysia dan filem animasi terlaris nombor satu.
Berita Harian