Menteri Kewangan Kecewa Penarafan Malaysia Diturunkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Semakan semula penarafan ke atas Malaysia oleh Fitch Ratings adalah disebabkan impak negatif daripada pandemik COVID-19 ke atas kedudukan fiskal negara dan situasi politik tempatan ketika ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerajaan dengan penarafan berkenaan terutamanya ketika tempoh luar biasa pada masa ini memandangkan penularan pandemik itu masih lagi belum reda.

Katanya, Malaysia sudah pun mula melihat petanda pemulihan ekonomi hasil daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan kerajaan sejak Mac 2020.

“Dengan menumpukan semata-mata kepada kedudukan fiskal dan situasi politik, keputusan Fitch itu tidak memberi keadilan dan penghargaan yang sewajarnya kepada usaha tindak balas krisis kita dan asas ekonomi kukuh kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Fitch Ratings ini mengumumkan penurunan penarafan ke atas Malaysia daripada ‘A-‘ kepada ‘BBB+’, dengan prospek bertambah baik daripada negatif kepada stabil.

Agensi penarafan antarabangsa dalam satu kenyataan, berkata penurunan nilai IDR disebabkan krisis COVID-19 yang menjejaskan beberapa kredit metrik utama Malaysia termasuk langkah kerajaan menangani pandemik dengan bantuan kewangan kepada rakyat dan perniagaan yang meningkatkan bebanan fiskal.

Katanya, metrik hutang kerajaan juga merosot disebabkan wabak berkenaan sekali gus dijangka melonjak hutang kerajaan kepada 76 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 berbanding 65.2 peratus pada 2019.

Bagaimanapun, Fitch Ratings menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 6.7 peratus tahun depan disokong pemulihan eksport barangan dan komoditi yang berterusan.

Katanya, prospek itu bagaimanapun kekal tidak menentu dan bergantung kepada evolusi COVID-19 dalam tempoh jangka pendek sebagaimana digambarkan dalam peningkatan kes harian sejak Oktober lalu.

Agensi penarafan itu menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 6.1 peratus tahun ini sebelum melonjak kepada 6.7 peratus tahun depan dan 4.6 peratus pada 2022 bersandarkan jangkaan kepelbagaian ekonomi Malaysia yang akan menyediakan pertumbuhan jangka sederhana kukuh. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat