PELAKON terkenal, Mira Filzah mengakui tidak berniat untuk menimbulkan sebarang isu menerusi penampilannya yang menyarung pakaian tradisional pengantin wanita masyarakat India, Lehenga.
Mira berkata, tema itu adalah satu daripada konsep penggambaran produk kanta lekap selain ia adalah keinginan diri sendiri selaku penggemar filem dan lagu Bollywood.
“Sebenarnya, untuk penggambaran produk LA Vue Lens ini ada pelbagai konsep. Baru konsep ini yang saya muat naik di Instagram. Kebetulan saya diberi pilihan daripada pengasas produk ini, Bee Ramza untuk pilih konsep apa saya nak buat.
“Jadi, saya memilih Bollywood sebab saya memang peminat setia filem dan lagu Hindustan sejak kecil lagi. Malah, saya juga suka buat video ‘miming’ lagu Hindustan. Dalam hati teringin sangat nak pakai pakaian Bollywood. Tapi untuk apa?
“Disebabkan itu, apabila ada peluang, saya cakap pada Bee teringin nak pakai satu set Lehenga dengan aksesori. Saya tak terfikir pun perkara ini akan menimbulkan isu sebegini. Niat saya adalah untuk suka-suka dan minat saya,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, Mira yang muncul dalam drama Bidadari Kiriman Tuhan di saluran Astro Ria memohon maaf jika perkara itu mengguris mana-mana pihak.

“Saya minta maaf kalau ada terasa. Tetapi, pada pendapat saya, di Malaysia ada pelbagai bangsa dan budaya. Semua orang pun saya tengok tak ada masalah perkara ini macam bertukar-tukar pakaian.
“Saya pun ada tengok beberapa selebriti yang pakai pakaian ini untuk majlis malam berinai, saya ada juga ada nampak orang India memakai baju kurung begitu juga ada masyarakat Melayu yang memakai cheongsam.
“Sekali lagi kalau ada yang terasa saya minta maaf. Tidak ada apa-apa niat pun untuk mengaut keuntungan daripada itu dan ini dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, seorang pengguna laman Twitter membuat ciapan berbunyi ‘Cultural appropriation queen must feel nice to profit off our culture’.
Ciapan yang meletakkan gambar yang dimuat naik Mira di IG itu mendapat pelbagai maklum balas.
Ada yang bersetuju dengan ciapan itu dan begitu juga sebaliknya yang melihat penampilan Mira tidak salah.
Harian Metro