HANG TUAH JAYA – Menteri Digital Gobind Singh Deo mencabar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya benar-benar tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Gobind yang juga Pengerusi DAP menegaskan, Zahid tidak sepatutnya terus menikmati kemudahan dan keistimewaan sebagai anggota Kabinet, khususnya sebagai Timbalan Perdana Menteri, sekiranya pada masa sama mengkritik serta melakukan usaha menentang kepimpinan Anwar.
Kata Gobind, pendirian seseorang anggota Kabinet perlu jelas dan konsisten, bukannya terus berada dalam kerajaan tetapi pada masa sama mengkritik kepimpinan Perdana Menteri.
“Kalau kamu tak yakin dengan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, letak jawatan, betul tidak?
“Kalau kita tak hormat seorang Perdana Menteri, kita buat apa yang saya sebut sebagai honourable thing, you bow out of the Cabinet. Beritahu terang-terang kita tidak boleh sokong lagi kerana kita tak yakin.
“Tapi jangan bermuka-muka. Di sana kita nak peluk, tapi di sini kita nak kritik. Tidak boleh,” katanya dalam ucapan Grand Finale Jelajah Harapan, di Melaka malam tadi.
Gobind berkata, Anwar sudah memberikan ruang, peluang serta segala kemudahan diperlukan kepada anggota Kabinet untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam kerajaan.
Menurutnya, persoalan sebenar bukanlah sama ada DAP perlu meninggalkan Kabinet, sebaliknya sama ada Zahid masih mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Anwar.
Beliau turut menegaskan DAP tidak mempunyai sebarang kekaburan mengenai pendiriannya kerana parti itu kekal menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Kita dari DAP, kita sokong pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Kalau kita sokong Perdana Menteri, apa kita nak buat? Kalau kamu tak yakin, kalau kamu tak sokong, kamu yang perlu letak jawatan,” katanya.
Lebih lantang, Gobind menyifatkan tindakan meletakkan jawatan sekiranya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap Perdana Menteri sebagai pendirian seorang pemimpin yang berprinsip dan berani bertanggungjawab terhadap keputusannya.
“Itu yang kita sebut gentleman, bukan? Itu yang saya sebut jantan,” katanya yang disambut sorakan persetujuan hadirin.
Dalam pada itu, Gobind menegaskan kerjasama politik dalam kerajaan perlu berteraskan kepentingan negara dan bukannya kepentingan atau percaturan politik mana-mana pihak.
Beliau berkata, semua pihak perlu memberikan komitmen yang jelas untuk bekerjasama demi memastikan kerajaan dapat bergerak ke hadapan.
Mengulas isu skandal yang dibangkitkannya, Gobind turut mengingatkan bahawa perubahan kerajaan terdahulu bukan semata-mata hasil tindakan pemimpin politik, sebaliknya berlaku susulan kebangkitan rakyat yang menolak kepimpinan ketika itu.
“Skandal-skandal yang saya sebut tadi, bukan mereka yang selesaikan. Bukan! Kamu rakyat Malaysia yang bangkit dan kita mengeluarkan mereka daripada Putrajaya, kita yang selesaikan,” katanya.



