Umno tidak ditubuhkan untuk berkongsi kuasa – Rafizi tegaskan hubungan Umno-Pas tak pernah lebih 3 tahun

MELAKA – Sejarah kerjasama Umno dan Pas membuktikan kedua-dua parti itu tidak pernah mampu berkongsi kuasa melebihi 3 tahun.

Pemimpin Bersama Datuk Seri Rafizi Ramli menyifatkan Umno tidak ditubuhkan untuk berkongsi kuasa.

“Bila Umno kuat dan dia memang rasa bahawa dia tak boleh berada di bawah orang lain.

“Umno tidak ditubuhkan untuk berkongsi kuasa. Itu sifat dia sampai bila-bila.

Pengajaran itu juga akan dilalui oleh Pas sekali lagi,” katanya ketika ceramah Trak Kancil di Pengkalan Batu, malam tadi.

Menurut Rafizi, beliau merupakan salah seorang yang terlibat dalam rundingan pembentukan kerajaan pada tahun 2022, namun menegaskan niat asal rundingan itu bukan untuk memberi nyawa kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita buat perjanjian, kita sain semua, tapi membentuk kerajaan pada tahun 2022 tidak pernah bermaksud niatnya untuk memberi nyawa kepada Umno dan BN.

“Sebab kita tahu Umno dan BN, kalau bagi dia nyawa, cari pasal,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Mengulas perkembangan politik selepas 2022, Rafizi menyifatkan hubungan romantik antara Pakatan Harapan (PH) dan BN ketika itu mempunyai cita-cita untuk masuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bersama-sama.

Katanya, keadaan itu menyebabkan PH tiada plan B dan akhirnya terpaksa dimakan Umno hidup-hidup, sehingga mencetuskan pergaduhan di Johor dan Negeri Sembilan.

Bekas Menteri Ekonomi itu turut mengkritik politik menakut-nakutkan pengundi yang didakwa diamalkan kedua-dua pihak, sama ada Umno dan Pas kepada pengundi Melayu, mahupun DAP kepada pengundi bukan Melayu.

“Saya penat dan saya bosan dengan politik yang menakut-nakutkan orang,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan keperluan untuk memulakan sesuatu yang baharu dan berani mengambil risiko, termasuk melawan politik identiti tanpa mengira parti.

“Tak kisah Umno dan Pas di sebelah pihak, kalau mereka bergantung kepada politik identiti untuk menang, kita kena lawan. Di sebelah sini, tak kisah kalau PKR ke, kalau DAP ke, kalau Amanah, kalau mereka bermain politik yang bergantung kepada identiti, kita juga kena lawan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat