ALOR GAJAH – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, K. Jegasilan mahu mengembangkan pertanian moden dan penternakan di kawasan itu bagi membuka peluang pekerjaan serta mengurangkan penghijrahan anak muda, termasuk ke Singapura.
Beliau berkata, tanah yang luas di sekitar Gadek mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan tanaman sayur-sayuran serta penternakan ayam dan lembu bagi memenuhi pasaran tempatan.
“Sebagai anak tempatan, saya lihat banyak potensi untuk mengembangkan pertanian moden di perkampungan sekitar Gadek, khususnya menerusi penternakan dan penanaman sayur-sayuran.
“Kita boleh bangunkan Gadek, yang dahulunya banyak ditanam dengan getah dengan pelbagai jenis tanaman yang mampu menembusi pasaran tempatan, dan dalam masa yang sama mewujudkan hab penternakan seperti ayam dan lembu di sini,” katanya kepada Bernama.
Jegasilan, 45, yang juga pengelola pusat tuisyen siswazah berkata, anak muda tempatan mampu menerajui pembangunan sektor berkenaan sekiranya diberikan bimbingan dan latihan bersesuaian.
Menurutnya, peluang menjana pendapatan di kawasan sendiri dapat membantu mengurangkan keperluan belia merantau untuk mencari pekerjaan.
“Kita boleh bantu mereka ini yang secara tidak langsung akan mengurangkan penghijrahan anak muda, terutama ke Singapura untuk mencari nafkah.
“Kita faham banyak masalah yang akan timbul sekiranya anak muda ini berhijrah seperti susah nak cuti jika ada kecemasan atau perayaan,” katanya.
Selain pertanian dan penternakan, beliau turut melihat sektor pelancongan sebagai antara bidang yang boleh dikembangkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk Gadek.
Katanya, tarikan semula jadi seperti air terjun dan kolam air panas, selain kemudahan penginapan sedia ada, boleh dimanfaatkan untuk menarik lebih ramai pengunjung.
“Kita ada air terjun, kolam air panas, lokasi penginapan dan pelbagai tarikan semula jadi yang unik, dan ini semua boleh dikembangkan lagi.
“Kita boleh gunakan idea dan kebolehan anak muda yang ada di sini untuk memajukan lagi Gadek,” katanya.
Mengulas perjalanan kempen, Jegasilan berkata beliau menerima sambutan baik daripada penduduk Melayu, Cina dan India sepanjang melakukan kunjungan dari rumah ke rumah.
Menurutnya, antara isu yang kerap dibangkitkan penduduk ialah bekalan air, sistem perparitan dan keadaan jalan raya.
Penduduk juga, katanya, mahukan wakil rakyat yang mudah ditemui dan terus menjaga hubungan dengan masyarakat selepas dipilih memegang jawatan.
“Dalam masa yang sama, mereka juga menyatakan tidak mahu ‘wakil rakyat mingguan’, tetapi yang kekal mesra selepas memegang jawatan dan mudah ditemui apabila timbul masalah,” katanya.
DUN Gadek menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Jegasilan dengan S. Nadarajah daripada Barisan Nasional (BN), Laveen Balaprabhakaran (Bersama) dan Laila Norinda Maon (PUTRA).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian Pilihan Raya Negeri Melaka, manakala pengundian awal berlangsung pada 11 November.


