KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak perlu berasa gusar dan takut dengan sebarang bentuk tekanan kepada rakyat dan ekonomi dalam usaha mempertahankan Palestin.
Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka, Malaysia berhak untuk menyuarakan pandangan negara dalam isu-isu semasa khususnya yang melibatkan hak kemanusiaan sejagat.
“Seperti yang saya jelaskan semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada 24 Oktober 2022, Selasa lepas, ini bukanlah isu negara Arab semata-mata tetapi isu kemanusiaan yang wajar disuarakan dan dipertahankan oleh seantero masyarakat dunia.
“Meskipun kebarangkalian bakal berdepan dengan teguran atau amaran daripada mana-mana pihak, Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan. Elemen-elemen ini boleh datang dalam pelbagai keadaan dan cara, sama ada tersurat mahupun tersirat.
“Sebagai contoh Duta Besar kita di Washington telah dipanggil oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat dan ditekan mengenai pendirian negara berkenaan isu Palestin,” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Selain itu Anwar turut berkongsi, Kementerian Luar Negeri juga telah menerima ‘demarche’ daripada Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur supaya Malaysia menggunakan saluran diplomatik untuk meminta sebuah negara agar untuk tidak mengambil kesempatan daripada keadaan konflik dengan mengunakan proksi untuk terlibat dengan pertempuran di Gaza.
“Negara yang dimaksudkan adalah Iran.
“Kita tidak perlu berasa gusar dan takut dengan sebarang bentuk tekanan. Kita adalah antara negara terkehadapan memperjuangkan isu Palestin” katanya.
Anwar memberitahu, pendirian tegas Malaysia turut dikongsi bersama 119 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semasa Mesyuarat Tergempar Majlis Keselamatan PBB pada 27 Oktober yang lalu.
“Kerajaan berpaksi kepada pendirian teguh bahawa rakyat Palestin perlu diberi keadilan yang setimpal mengikut undang-undang antarabangsa.
“Inilah suara demokrasi sebenar,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Anwar menyatakan lawatan ke Timur Tengah baru-baru ini selain daripada konteks meningkatkan hubungan dua hala dengan negara-negara berkenaan, lawatan ini telah berjaya meningkatkan kesepakatan negara Islam dalam mempertahankan hak rakyat bumi Palestin.
Ujarnya, melalui lawatan ini, kita dapat lihat semua pemimpin negara Islam sepakat bahawa konflik yang dihadapi oleh rakyat Palestin ini perlu sokongan padu dan diselesaikan oleh masyarakat antarabangsa.
“Keberhasilan lain adalah ketersediaan negara-negara Islam agar sehaluan untuk menemui satu penyelesaian yang adil serta menyeluruh bagi rakyat Palestin. Isu konflik yang kian bertambah buruk ini perlu diteruskan agar terus menjadi agenda utama di setiap platform antarabangsa.
“Tidak boleh ada pendekatan berat sebelah dalam penyelesaian mana-mana konflik. Dalam hal ini, rakyat Palestin berhak mendapat keadilan berdasarkan undang-undang antarabangsa seperti yang dirasai oleh masyarakat dunia. Misalnya, rakyat Ukraine yang diberi sokongan meluas oleh pihak Barat bagi menentang tindakan Rusia yang mencerobohi negara mereka.
“Semasa lawatan ini juga, kesemua negara Islam telah sepakat mengenai isu pembukaan laluan kemanusiaan tanpa sekatan ke Gaza adalah menjadi keutamaan.
“Malaysia juga menyatakan kesediaan negara untuk bekerjasama dengan negara-negara Islam dan sehaluan (like minded countries) lain bagi mencari penyelesaian yang adil, menyeluruh dan berkekalan bagi isu Palestin,” kata Anwar.
Penjelasan Perdana Menteri itu menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yang meminta Anwar menjelaskan perkembangan lawatan kerja ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir berhubungan dengan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Suhaizan bertanya, apakah bentuk ancaman yang diterima oleh Malaysia daripada negara-negara barat yang menyokong Israel susulan atas pendirian Malaysia terhadap Palestin dan apakah langkah-langkah yang bakal diambil oleh Malaysia bagi menghadapi segala ancaman ini supaya tidak memberi kesan besar terhadap rakyat dan ekonomi negara?