KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan sebaran poster yang kononnya beliau menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan dan digantikan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk mengemudi Perikatan Nasional (PN).
Tegas Ahli Parlimen Machang itu, fitnah jahat sedang berlegar melaga-lagakan pimpinan Bersatu dengan niat nak memecah belahkan mereka.
“Kami tetap istiqamah menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu.
“Pengkhianatan dua ahli Parlimen kami dari Labuan dan Kuala Kangsar akan diuruskan oleh Lembaga Disiplin Parti. Jangan cuba jadikan mereka modal untuk memecah belahkan parti,” katanya.
Dalam poster palsu yang tersebar itu, kononnya Wan Ahmad Fayhsal menzahirkan kekecewaan apabila dua orang Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Labuan dan Datuk Seri Iskandar Dzulkarnain Ahli Parlimen Kuala Kangsar secara terbuka menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini menggambarkan kelemahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN dan harus bertanggungjawab atas situasi ini dan perlu meletakkan jawatan supaya Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memimpin PN,” katanya.