Pesara Tentera Terharu Dapat Saksikan Semula Perbarisan Sempena Hari Kebangsaan

- Advertisement -

IPOH – Seorang pesara tentera yang hilang sebelah kaki terkena jerangkap samar ketika menentang pengganas komunis tidak dapat menahan sebak apabila dapat menyaksikan semula perbarisan dan perarakan kontinjen sempena Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri yang berlangsung di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini hari ini.

Koperal Mokhtar Sulaiman, 75, berkata, ini kerana sambutan sedemikian hanya dapat disaksikan selepas dua tahun tidak dapat dilangsungkan akibat Covid-19.

Menurutnya, sebagai individu yang pernah berkhidmat sebagai tentera, dia sentiasa menanti ketibaan 31 Ogos setiap tahun bagi meraikannya dan mengenangkan perjuangannya bersama rakan-rakan mempertahankan kedaulatan tanah air.

Menurut Sulaiman, ketika melihat perbarisan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama aset-asetnya, dia mengakui sangat teruja dan terkenang saat ketika berkhidmat sebagai tentera.

“Melihat angkatan tentera kita dalam perbarisan dengan penuh semangat dan sorakan daripada orang ramai membuatkan saya berasa bangga dan sebak.

“Selepas dua tahun tidak ada perarakan kemerdekaan macam ini, namun, akhirnya ia kembali dan saya masih diberikan kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia oleh Allah untuk menyaksikannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mokhtar ditemui selepas menerima Sumbangan Wira Negara yang disampaikan Sultan Perak Sultan, Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri kali ini.

Mengenai penghargaan Sumbangan Wira Negara yang diterimanya, Mokhtar berkata, dia amat bersyukur dan terharu apabila pengorbanannya sebagai seorang tentera mendapat perhatian.

Mokhtar yang hilang kaki kanan sehingga paras lutut akibat terpijak jerangkap samar ketika menjejaki komunis pada tahun 1979 berkata, tiada apa yang diharapkannya, namun, jika jasanya dihargai dan dikenang itu sudah memadai bagi dirinya.

Menceritakan detik hitam kehilangan sebelah kakinya, Sulaiman berkata, kejadian berlaku pada 10 Februari 1979 ketika mengikuti Operasi Selamat Sawadi II di Yala, Thailand.

“Semasa kejadian, kami sedang memeriksa kem yang ditinggalkan komunis dan tanpa sedar saya terpijak jerangkap samar dan hanya mengerang kesakitan sebelum dibawa ke hospital di Pulau Pinang.

“Disebabkan kawasan berkenaan merupakan kawasan komunis, saya terpaksa menahan kesakitan dari pukul 11 pagi sehingga pukul 5 petang sebelum menaiki helikopter dan tiba di hospital Pulau Pinang pada pukul 7 malam,” katanya.

Sulaiman yang menetap di Bukit Gantang, Taiping berpesan kepada generasi muda hari ini agar menghargai kebebasan dan keamanan yang dinikmati hari ini.

“Juga hargailah jasa pejuang-pejuang negara terdahulu,” katanya. – Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat