JELEBU – Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu mempertikaikan kesahan Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang yang dijadual berlangsung pada jam 4 petang ini di Istana Seri Menanti, dengan mendakwa mesyuarat tersebut bertentangan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 selain melanggar perintah Mahkamah Tinggi.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan mesyuarat khas itu dipanggil secara tergesa-gesa menerusi notis bertarikh 30 Julai 2026 yang disampaikan kepada Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol dan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Tampin lewat petang semalam.
Menurut kenyataan itu, Yang Teramat Mulia Datuk Mendika Menteri Akhir Zaman, Datuk Haji Ma’ruf bin Haji Mak Rasad selaku Undang Luak Jelebu ke-16 tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan, walaupun agenda yang dimaklumkan adalah bagi mendengar aduan berkaitan Luak Jelebu.
Mereka mendakwa aduan-aduan tersebut dijangka menjurus kepada saranan supaya Datuk Haji Ma’ruf dipecat sebagai Undang Luak Jelebu ke-16 sebelum saranan itu dibawa untuk diterima dan disahkan oleh Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang.
Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu turut mendakwa beberapa individu yang sebelum ini dipecat sebagai Ibu Soko dan Buapak di Luak Jelebu akan dijemput hadir bagi membentangkan tuduhan terhadap Datuk Haji Ma’ruf.
Menurut mereka, tindakan itu mengulangi modus operandi yang sama seperti yang didakwa berlaku ketika proses pengesahan pemecatan Undang Luak Sungai Ujong menerusi Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang pada 17 April lalu.
Selain itu, mereka turut mendakwa dua individu yang kini memegang jawatan Undang bagi Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau akan dijemput menghadiri mesyuarat tersebut walaupun, menurut mereka, pelantikan kedua-duanya masih belum disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
Mereka berpendapat keadaan itu menyebabkan kuorum mesyuarat tidak memenuhi kehendak Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Mereka turut merujuk Perkara 20 undang-undang yang sama yang, menurut tafsiran mereka, tidak membenarkan sesuatu mesyuarat diteruskan tanpa kuorum yang sah.
Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang pada hari ini adalah tidak berperlembagaan, tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan.
Mereka juga berpandangan bahawa kerajaan negeri ketika ini hanya berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government) susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri, justeru tiada keputusan besar sepatutnya dibuat sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri pada 1 Ogos ini.
Dalam kenyataan sama, mereka turut mendakwa Mahkamah Tinggi Seremban telah mengeluarkan Perintah Injunksi bertarikh 5 Jun 2026 yang menghalang pelaksanaan peranan kesemua empat Undang, Tengku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong sebagai anggota Dewan Keadilan dan Undang sehingga kes yang difailkan diputuskan oleh mahkamah.
Atas alasan itu, mereka mendakwa tindakan memanggil Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang pada hari ini turut merupakan suatu penghinaan terhadap perintah mahkamah berkenaan.
Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu turut menegaskan sokongan penuh mereka kepada Yang Teramat Mulia Datuk Mendika Menteri Akhir Zaman, Datuk Haji Ma’ruf bin Haji Mak Rasad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Menurut mereka, sebarang keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak selain Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu yang sah berhubung kedudukan Undang Luak Jelebu adalah tidak sah dan terbatal mengikut adat serta undang-undang.
*Krisis Undang semakin melebar*
Kenyataan tersebut merupakan perkembangan terbaharu dalam kemelut institusi Undang di Negeri Sembilan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Sebelum ini, pertikaian mengenai kedudukan Undang Luak Sungai Ujong dan Undang Luak Rembau telah mencetuskan beberapa tindakan undang-undang, termasuk permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Seremban.
Dalam perkembangan berkaitan, Balai Undang Luak Rembau sebelum ini turut diarahkan dikosongkan susulan arahan pentadbiran yang mencetuskan kontroversi, manakala kesahihan pelantikan Undang baharu bagi beberapa luak terus dipertikaikan oleh pihak-pihak yang terlibat.
Kemelut itu berlaku ketika Dewan Undangan Negeri telah dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri pada 1 Ogos, sekali gus menjadikan sebarang keputusan yang melibatkan institusi Dewan Keadilan dan Undang mendapat perhatian kerana badan tersebut mempunyai peranan penting dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan, termasuk dirundingi dalam pelantikan Menteri Besar mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.



