Ustaz Zamani Tawar Hospital Nilai, Selesai Isu Banjir dan Fokus Keperluan Rakyat

NILAI — Calon Parti BERJASA bagi DUN Nilai merangakap Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim tampil membawa pendekatan ‘wajah baharu, idea baharu’ dengan menawarkan penyelesaian kepada isu utama rakyat, termasuk pembinaan hospital di Nilai, menangani masalah banjir serta meningkatkan kemudahan awam.

Menurut Zamani, tawaran yang dibawanya memberi tumpuan kepada isu-isu yang disifatkan sebagai keutamaan penduduk Nilai dan mampu diperjuangkan sekiranya diberi mandat.

“Saya tidak mahu politik lama yang menyenaraikan terlalu banyak manifesto sehingga mempengaruhi pengundi, tetapi apabila menang akhirnya tidak mampu dilaksanakan. Saya hanya menawarkan perkara yang saya yakin boleh diperjuangkan.

“Nilai mempunyai lebih 120,000 penduduk, namun sehingga hari ini masih tiada hospital sendiri. Bagi saya, rakyat berhak mendapat kemudahan kesihatan yang lebih dekat dan lebih baik. Dasar sedia ada perlu dinilai semula supaya pembinaan hospital di Nilai dapat direalisasikan demi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Mandat Negeri Sembilan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terbitan Suara TV.

Beliau menjelaskan antara keutamaan yang akan diperjuangkan ialah pembinaan sebuah hospital di Nilai memandangkan kawasan itu kini mempunyai populasi yang besar, namun penduduk masih bergantung kepada Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban bagi mendapatkan rawatan.

Jelasnya, Hospital Tuanku Ja’afar sewajarnya dinaik taraf sebagai hospital negeri, sekali gus membolehkan sebuah hospital daerah diwujudkan di Nilai bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin meningkat.

Selain isu kesihatan, Zamani turut memberi perhatian serius terhadap masalah banjir yang sering melanda kawasan Nilai, khususnya di Pekan Lama, yang menurutnya berpunca daripada pembangunan yang tidak mengambil kira laluan asal sungai.

Beliau berkata pembangunan yang menutup atau mengubah laluan sungai menyebabkan aliran air menjadi perlahan sebelum melimpah ke kawasan sekitar ketika hujan lebat.

“Masalah banjir di Nilai bukan berlaku secara kebetulan. Saya sendiri turun melihat keadaan dan mendapati antara puncanya ialah pembangunan yang tidak mengambil kira laluan asal sungai.

“Apabila sungai ditutup, disempitkan atau diubah laluannya, air tidak dapat mengalir seperti biasa lalu menyebabkan banjir. Sebab itu setiap pembangunan mesti mengambil pandangan agensi yang mempunyai kepakaran.

“Wakil rakyat pula perlu memainkan peranan menyelaras semua pihak supaya pembangunan tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Dalam temu bual itu, Zamani turut menggariskan beberapa lagi tawaran kepada penduduk Nilai, antaranya memperkukuh sektor pendidikan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan, menambah baik sistem pengangkutan awam serta memperluaskan penyediaan rumah mampu milik.

Katanya, semua cadangan tersebut dirangka hasil kajian terhadap keperluan sebenar masyarakat di Nilai dan bukan sekadar janji pilihan raya.

Beliau turut menegaskan peranan wakil rakyat bukan hanya bergantung kepada bidang kuasa DUN atau Parlimen, sebaliknya perlu menjadi penghubung antara rakyat, agensi kerajaan, pemaju, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti bagi mempercepatkan penyelesaian sesuatu isu.

“Orang baharu tidak semestinya tiada idea. Bahkan orang baharu ada idea baharu. Saya mahu membawa pendekatan yang lebih praktikal, menjadi jambatan antara rakyat, agensi kerajaan, pemaju dan NGO supaya setiap masalah dapat diselesaikan dengan lebih pantas.

“Politik bukan sekadar bercakap ketika pilihan raya, tetapi bagaimana kita menggerakkan semua pihak untuk mencari penyelesaian terbaik kepada rakyat. Saya percaya apabila semua pihak duduk semeja, banyak masalah rakyat boleh diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu selari dengan hasrat BERJASA untuk menawarkan politik berteraskan penyelesaian, sekali gus memberikan alternatif baharu kepada pengundi di DUN Nilai pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat