KUALA LUMPUR- Perikatan Nasional (PN) menyokong penuh kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim bahawa pihak polis perlu meneruskan siasatan sesuatu kes jenayah dan tidak boleh menganggapnya “selesai” hanya kerana pengadu asal enggan memanjangkan perkara itu.
Ketua Whip PN,Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN percaya isu-isu seperti pendakwaan terpilih, pilih kasih, kronisme, buli institusi, “jerung dan bilis” dan lain-lain sudah membusuk dek begitu lama mengisi ruang bicara awam tanpa penyelesaian tuntas.
Jelas beliau, ia turut mewarnai hampir keseluruhan landskap serta suhu politik kita, termasuk imej negara di mata dunia.
“Keadaan ini jelas menimbulkan rasa tidak selesa dan tidak percaya yang meluas terutamanya terhadap kemampuan kerajaan dan pihak berkuasa melindungi hak rakyat dan menjamin terlaksananya keadilan untuk semua bawah undang-undang kita.
“Dalam kes semasa yang dibangkitkan oleh Hassan Karim ini, kegagalan pihak berkuasa bertindak mengikut tuntutan undang-undang akan terus memburukkan tanggapan sedia ada terhadapnya, terutama dalam isu-isu berkait tahap profesionalisme dan mutu perkhidmatan.
“Justeru, PN sekali lagi menyokong penuh gesaan beliau agar pihak polis meneruskan siasatan kes dan mengambil semua tindakan perlu mengikut undang-undang bagi memastikan hak dan kesejahteraan semua rakyat dihormati seutuhnya,” kata Setiausaha Agung PAS itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Kata Takiyuddin lagi, berbeza dengan kes sivil yang boleh dihenti dan diselesaikan pada bila-bila masa atas persetujuan bersama pihak-pihak terlibat, kes jenayah terutama di bawah Kanun Keseksaan perlu disiasat dan diambil tindakan mengikut undang-undang sebaik sahaja laporan mengenainya dibuat.
“Prinsip kedaulatan undang-undang serta peranan pihak berkuasa sebagai pelindung kepentingan awam perlu dipertahankan serta dilihat diamalkan dalam semua keadaan tanpa mengira kedudukan, pengaruh mahupun status pihak terbabit.
“Masyarakat yang gagal membela serta melindungi anggotanya yang kerdil dan daif akan musnah di tangan anggotanya yang angkuh dan didewakan,” ujar beliau.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan dari segi undang-undang jenayah tiada istilah kes telah selesai walaupun mangsa membuat laporan polis kedua menyatakan bahawa kes telah selesai.
Beliau menjelaskan, apabila sesuatu laporan polis dibuat maka dokumen itu dipanggil first information report atau ringkasnya FIR.
Hassan berkata, sebaik sahaja menerima laporan, jika kesalahan itu merupakan serangan fizikal ke atas diri seseorang dan merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, maka tugas polis ialah memanggil pihak yang menyerang mangsa itu untuk disiasat.
“Polis juga perlu menghantar mangsa ke hospital kerajaan yang berdekatan untuk memeriksa kecederaan yang dialami oleh si mangsa.
“Polis perlu membuka kertas siasatan dan mengambil keterangan si penyerang di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (KAJ).
“Jika siasatan terpaksa memakan masa melebihi 24 jam, maka si penyerang perlu ditahan di bawah Seksyen 117 KAJ dengan membawa si penyerang ke mahkamah atau ke balai polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman daripada majistret mahkamah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kenyataan tersebut tidak memetik sebarang nama atau menyentuh kes secara khusus, namun dipercayai berkaitan kes pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kenamaan di lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.
Polis Kuala Lumpur mengesahkan bahawa kes seorang pengiring kenamaan yang dilaporkan mencederakan seorang orang kurang upaya (OKU) sudah diselesaikan.
Menurut Hassan, walaupun mangsa membuat aduan polis kedua, ia tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja.
“Yang penting ialah laporan polis yang pertama iaitu FIR.
“Kes telah selesai ia membawa makna dari segi kesalahan tort di mana si mangsa tidak berniat untuk mengambil tindakan sivil bagi kesalahan tort yang merupakan serangan ke atas diri yang dipanggil assault and battery.
“Tetapi bagi kesalahan jenayah, itu adalah dalam bidang kuasa polis.
“Walau si mangsa tarik balik laporan polisnya yang pertama atau membuat laporan polis yang kedua menyatakan kes telah selesai maka dari perjalanan undang-undang ia tidak boleh mempengaruhi atau memberhentikan tindakan polis,” ujarnya.
Jelasnya, perkara ini membabitkan kedudukan undang-undang di bawah ‘rule of law’ atau sistem kedaulatan undang undang di negara kita Malaysia.
‘Di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan adalah sama rata atau kesamarataan kepada setiap warga negara di bawah undang-undang.
“Di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan setiap warganegara termasuk golongan OKU dijamin kebebasan dirinya,” jelasnya.