Dakwaan ‘Dilamar’ Sertai Kerajaan Perpaduan Terus Dipertahan PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS mempertahan kenyataan menerima tawaran daripada ‘utusan’ kerajaan yang menawarkan kepada parti itu agar menjalinkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan meskipun ia dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tawaran itu dikemukakan beberapa pemimpin Pas termasuk dirinya tetapi berpendirian untuk kekal setia sebumbung bersama Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti wakil yang didakwa melamar PAS agar duduk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pas tidak khianat kepada pengundi sebagaimana janji dalam masa kempen pilihan raya. Apa yang penting ialah apakah kita tunaikan apa yang kita sebut masa kempen atau sebaliknya. Bagi saya itu lebih besar makna kepada pengundi yang sanggup mengundi dan memilih mana-mana parti dalam pilihan raya umum (PRU) lalu,” katanya lapor Utusan pada Rabu.

Ditanya siapakah ‘utusan’ kerajaan yang menemui pemimpin PAS terlibat, beliau tidak memberi respons terhadap pertanyaan itu.

Semalam, Anwar menafikan dakwaan beberapa pemimpin PAS bahawa ada wakil daripada kerajaan menawarkan kepada parti itu untuk berkerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri berkata, beliau sama sekali tidak dimaklumkan berhubung perkara itu malah ia tidak pernah dibincang di peringkat pimpinan tertinggi kerajaan antara Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin mengesahkan wujud tawaran untuk parti itu bekerjasama dalam kerajaan perpaduan bagi mengukuhkan kedudukan ahli parlimen Islam di dalam kerajaan.

Hashim mendakwa, tawaran itu datang daripada seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Pada Ahad lalu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan pernah dihubungi beberapa kali daripada ‘orang tertentu’ yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau bagaimanapun mempersoal tawaran itu dengan berkata ia sepatutnya memberi kelebihan kepada PAS kerana parti itu mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada parti lain.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat