Kampung Sampah usik perasaan Aliff

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyelami erti kehidupan di kawasan penempatan dikenali sebagai Kampung Sampah, Sandakan, Sabah ketika penggambaran telefilem Sekolah Sampah, pelakon dan penyanyi berasal dari Singapura, Aliff Aziz, 31, insaf dan bersyukur atas nikmat diberi.

Melihat sendiri bagaimana penduduk kawasan perkampungan terbabit tinggal dalam persekitaran tidak selesa dengan bau busuk menyusuk hidung, Aliff atau nama sebenar, Muhammad Aliff Aziz, sedar realiti dihadapi insan kurang bernasib baik.

“Ketika mula-mula menjejakkan kaki di Kampung Sampah, saya terkejut… Keadaan cukup serius dengan pencemaran bau dan sebagainya.

“Melihat kehidupan di perkampungan itu memberi saya keinsafan. Saya pasti penonton telefilem ini juga akan rasa insaf dan bersyukur atas apa yang ada sekarang.

“Dalam kehidupan, kita banyak merungut, contohnya, makanan tidak sedap, panas tiada pendingin hawa dan sebagainya.

Tetapi apabila kita dapat melihat dengan mata kita, bagaimana ada komuniti yang hidup lebih susah, kita akan rasa bersyukur,” katanya pada sidang media telefilem Sekolah Sampah arahan Ebi Kornelis yang memaparkan kisah Adam lakonan

Aliff, yang berusaha memberi didikan kepada anak-anak tidak berkemampuan.

Aliff membintangi telefilem itu bersama isteri, Bella Astillah dan adik ipar, Adil Astillah yang berusia tujuh tahun.

Melihat realiti kehidupan di Kampung Sampah, Aliff dan Bella menganggap akar kepada permasalahan sosial dalam komuniti adalah kurangnya pendidikan.

“Akar kepada masalah sosial yang berlaku dalam komuniti kita adalah apabila manusia tidak menerima pendidikan. Apabila tiada pendidikan, sukar hendak memecahkan tradisi seperti kemiskinan dan seumpamanya. Hendak belajar tidak dapat, hendak pergi kolej, tiada duit dan tiada sijil untuk mencari kerja baik.

“Dari situlah timbul kes jenayah kerana mereka cuba mencari cara untuk terus hidup. Jadi, dengan kisah yang diketengahkan (dalam telefilem Sekolah Sampah) ini dapat membuka mata masyarakat untuk membantu mereka yang berdepan masalah sama,” katanya.

 

Antara babak Aliff dalam telefilem Sekolah Sampah arahan Ebi Kornelis.

 

Hati Aliff tersentuh apabila melihat lebih ramai insan lain yang menjalani kehidupan dalam serba kekurangan sepanjang menyudahkan telefilem berkenaan.

“Apabila kita menghayati dengan betul, timbul rasa keinsafan atas nikmat Allah yang sudah diberikan kepada kita, tanpa kita meminta.

“Seperti ada sepotong ayat dalam Al-Quran, nikmat Allah yang mana lagi yang kita dustakan. Allah memberi kita nikmat tanpa kita meminta.

“Jadi kita seharusnya lebih bersyukur, jangan tengok pada yang kita tiada, sebaliknya, hargai apa yang kita ada. Ada orang tiada apa yang kita ada.

“Melihat situasi kehidupan di depan mata saya ketika penggambaran telefilem Sekolah Sampah, Mac lalu, cukup menginsafkan.

“Jika kita fikir hidup susah, sebenarnya ada insan lain yang lagi susah,” katanya.

Telefilem Sekolah Sampah menemui penonton pada jam 9 malam, Sabtu lalu menerusi slot Citra Exclusive di Astro Citra 108 atau strim secara online di Astro Go.

Selain Aliff, Bella dan Adil, telefilem ini membariskan pelakon lain seperti Pasqueletta Joan, Rubisa Tiasin dan ramai lagi.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat