KUALA LUMPUR – Tiga portal yang dipercayai melaporkan berita palsu yang dipercayai mencemarkan nama baik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diklasifikasikan sebagai tidak beretika dan menganggu ketenteraman awam.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus membuat laporan polis terhadap pemilik tiga portal tersebut yang didakwa memutar belitkan, menyiarkan dan meyebarkan berita palsu sehingga menjatuhkan kredibiliti Perdana Menteri dan menimbulkan kegusaran rakyat.

“Artikel yang dilaporkan itu bertajuk Ismail Sabri bimbang jadi Perdana Menteri paling singkat, rayu jangan tarik sokongan disiarkan pada 30 Januari.

“Kenyataan ini telah dimanipulasikan oleh tiga portal tersebut dalam satu majlis di Bera pada Sabtu 29 Januari, sedangkan ketiga-tiga wakil portal tersebut tidak berada di lapangan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi pada Isnin.

Mohammad Anuar menegaskan laporan polis ini dibuat supaya pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan serius ke atas pemilik ketiga-tiga portal yang memutar belit kenyataan Perdana Menteri.

“Dia (Ismail Sabri) tak cakap macam tu, ia dimanipulasi. Apa-apa pun kita serah kepada pihak berkuasa kalau sekadar minta maaf nanti mereka ulang lagi kesalahan, jadi biar polis ambil tindakan,” ujar beliau.