Bagi Peluang Tokoh Baru Jadi PM – Mukhriz

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya negara memberi peluang kepada tokoh baru sebagai pemimpin masa depan, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Memetik laporan Astro Awani, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu, berpendapat mengenai isu calon Perdana Menteri ramai lagi tokoh sedia ada yang berpotensi mengubah polemik politik.

“Bagi saya, sudah tiba masanya kita lihat tokoh-tokoh baru pula. Kalau tidak, nama-nama sama juga yang disebut-sebut. Saya tidak pasti dari segi daya tarikan rakyat yang memilih.

“Ini termasuklah anak-anak muda yang akan mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Ia akan membuatkan satu pihak itu boleh memenangi pilihan raya ataupun tidak.

“Jadi, saya rasa, inilah masanya untuk kita mengubah paradigma ataupun polemik politik yang sedang kita alami ketika ini dan kita lihat pada contoh-contoh baik yang telah ditunjukkan di banyak negara di dunia ini.

“Yang mana, kadang-kadang muka baru langsung orang tidak kenal pun, boleh ditonjolkan dan menyebabkan satu gelombang baharu,” katanya.

Selain itu, menjawab soalan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi memainkan peranan atau tidak dalam arena politik masa depan, ini penjelasan Mukhriz:

“Saya berpendapat beliau (Dr Mahathir) masih lagi mempunyai banyak pengalaman yang boleh dikongsikan, dan minda strateginya yang begitu hebat, kalau boleh saya sendiri mengakui.

“Ada perkara-perkara yang tidak terfikir oleh orang muda, yang berdasarkan kepada pengalaman yang begitu lama yang ada padanya.

“Jadi, beliau boleh kongsikan dengan kita untuk kita melakar strategi untuk melawan saingan politik kita,” kata Mukhriz dalam sesi Dialog Pembangkang di stesen tv berkenaan.

Dialog itu turut disertai tiga panel lain iaitu Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke; Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Sementara itu, Mukhriz menjelaskan, pihaknya hanya bersetuju untuk membentuk percaturan politik baharu atau grand coalition jika gabungan itu tidak melibatkan kluster mahkamah.

“Kita ingin tahu, kalau ada grand coalition, adakah ia akan melibatkan pihak kluster mahkamah, kalau ada puak puak sebegitu, maka kita tidak akan bersamalah.

“Setakat yang kami dengar daripada rakan-rakan dari Pakatan Harapan (PH), mereka pun tidak mahu mendekati golongan ini dan itu satu berita baik bagi kita.

“Jadi daripada situ, bolehlah kita bincang apa bentuk kerjasama yang boleh kita pupuk menjelang PRU15,” jelas Ahli Parlimen Jerlun itu lagi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat