KUALA LUMPUR – Malaysia melancarkan program Forest Carbon Offset (FCO) bagi membolehkan projek pemuliharaan, pemulihan dan pengurusan hutan memperoleh pembiayaan melalui penjualan kredit karbon.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, menyempurnakan peluncuran program yang dibangunkan oleh Malaysia Forest Fund (MFF) itu di Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) kementerian, Datuk Nor Yahati Awang, dan Pengerusi MFF, Tan Sri Abdul Majid Khan.
Menerusi FCO, projek hutan dinilai berdasarkan keupayaannya mengurangkan atau mengelakkan pelepasan gas rumah kaca, atau menyingkirkan gas berkenaan daripada atmosfera. Hasil yang disahkan boleh diterbitkan sebagai Unit Karbon Hutan atau Forest Carbon Units (FCU). Pembeli boleh menggunakan unit itu sebagai ofset karbon dengan merekodkan persaraannya dalam registri supaya unit yang sama tidak boleh digunakan semula.
Menurut Arthur, FCO diiktiraf sebagai sistem pengkreditan karbon nasional bagi sektor perhutanan, selaras dengan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan. Program itu dijangka melengkapi pasaran karbon pematuhan yang dirancang di bawah Rang Undang-Undang Perubahan Iklim.
Beliau berkata, FCO juga berpotensi membuka laluan kepada pembiayaan antarabangsa melalui kerjasama di bawah Artikel 6.2 Perjanjian Paris. Pemindahan hasil mitigasi di peringkat antarabangsa menerusi mekanisme itu tertakluk kepada pembangunan kerangka perundangan dan kawal selia yang berkaitan.
“Kerjasama ini penting bagi menyelaraskan dasar, pembiayaan dan tanggungjawab pemeliharaan hutan, di samping memastikan hutan terus dilindungi sebagai aset strategik negara yang mampu memberikan manfaat berterusan dari segi iklim, biodiversiti dan sosioekonomi,” katanya mengenai peranan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan masyarakat dalam pemuliharaan hutan.
Projek rintis di empat negeri
Bagi mengukur sumbangan projek karbon mengikut jenis hutan dan ciri ekosistem tempatan, MFF membangunkan empat metodologi yang meliputi penghutanan, penghutanan semula dan pemulihan (ARR), penambahbaikan pengurusan hutan (IFM), pengurangan pelepasan daripada penyahhutanan dan degradasi hutan (REDD), serta ekosistem tanah lembap (WE).
Projek rintis di Kelantan, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan menyokong usaha menguji kesesuaian kaedah pengukuran tersebut dalam keadaan sebenar di lapangan. MFF turut membangunkan dua metodologi tambahan bagi perhutanan bandar dan perhutanan tani. Kedua-duanya perlu melalui projek rintis dan proses pengesahan sebelum boleh digunakan di bawah FCO.
Bagi membolehkan orang ramai menyemak rekod projek dan menjejaki transaksi kredit, MFF membangunkan Registri FCO. Platform digital berpusat itu merekodkan pendaftaran projek, jumlah kredit yang diterbitkan, pemindahan hak milik dan persaraan kredit. Rekod sepanjang kitaran hayat setiap kredit itu membantu mengelakkan pengiraan berganda.
Pembiayaan jangka panjang untuk hutan dan komuniti
Suhaini Haron, yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif MFF, berkata kejayaan FCO turut bergantung pada kesannya di lapangan, khususnya terhadap pengurusan hutan dan kehidupan masyarakat yang bergantung pada sumber hutan.
“Melalui FCO, MFF berhasrat untuk memastikan potensi karbon hutan dapat diterjemahkan kepada sumber pembiayaan yang mampu menyokong usaha pemuliharaan, pemulihan dan pengurusan hutan secara mampan,” katanya.
Menurut Suhaini, FCO melengkapi Forest Conservation Certificate (FCC) yang diperkenalkan pada 2024. FCO membuka ruang pembiayaan melalui penjualan kredit karbon, manakala FCC menyalurkan sumbangan sukarela sektor swasta kepada usaha pemuliharaan hutan. Kedua-dua sumber itu boleh digabungkan bagi menyediakan pembiayaan berkala dalam jangka panjang dengan kawalan bagi mengelakkan pengiraan berganda.
Kerajaan negeri, jabatan perhutanan, pemaju projek, komuniti setempat dan sektor swasta boleh mengambil bahagian dalam pembangunan projek karbon hutan di bawah FCO. MFF menjangkakan penyertaan mereka dapat menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, khususnya bagi masyarakat yang bergantung pada hutan sebagai sumber pendapatan.



