GPS menang 29 kerusi tanpa bertanding, 53 DUN jadi rebutan – SPR

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang tanpa bertanding di 29 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki 53 kerusi akan menyaksikan persaingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata,
seramai 168 calon disahkan layak bertanding selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi tadi di 82 Pusat Penamaan Calon (PPC) di seluruh negeri.

Katanya, tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses berkenaan.

“Daripada jumlah keseluruhan calon yang disahkan, seramai 29 calon GPS menang tanpa bertanding, sekali gus menyaksikan tiada pengundian di kerusi berkenaan.

“Sehubungan itu, pengundi di 29 DUN terbabit tidak perlu hadir atau keluar mengundi pada Hari Mengundi,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.

GPS meletakkan calon di semua 82 kerusi, diikuti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) dengan 29 calon, calon Bebas (22), Parti Bumi Kenyalang (PBK) (17), DAP (14), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) seorang.

Bagi 53 kerusi yang dipertandingkan, sebanyak 29 kawasan menyaksikan pertandingan dua penjuru, 15 kawasan tiga penjuru dan sembilan kawasan empat penjuru.

Daripada keseluruhan calon, 154 lelaki dan 14 wanita. Seramai 88 calon berusia 60 tahun ke atas, 47 calon berusia 50 hingga 59 tahun, 18 calon (40 hingga 49 tahun), 12 calon (30 hingga 39 tahun) dan tiga calon berusia 18 hingga 29 tahun.

Calon tertua ialah John Antau Anak Linggang, 78, daripada PBDS yang bertanding di DUN Krian, manakala calon termuda ialah Irene Wong Lee Ting, 24, mewakili DAP di DUN Pelawan.

Ramlan berkata, tempoh rasmi berkempen bagi 53 kerusi bermula selepas pengisytiharan pertandingan hari ini dan berakhir pada jam 11.59 malam, 11 Disember depan.

SPR turut menubuhkan 104 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau aktiviti kempen serta mengingatkan semua pihak supaya tidak memaparkan bahan berunsur perkauman, menyentuh sensitiviti agama atau mengandungi hasutan yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak membuka bilik gerakan 24 jam mulai hari ini hingga 12 Disember bagi menerima aduan berkaitan pilihan raya.

Aduan boleh disalurkan di Kompleks Pejabat SPRM Kuching, menerusi talian 082-467701/702 atau e-mel [email protected].

Kementerian Komunikasi pula mengoperasikan tiga Pusat Media di Kuching, Sibu dan Miri dari jam 9 pagi hingga 7 malam sehingga 12 Disember, selain mengaktifkan 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai Pusat Media Sokongan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat