KUALA LUMPUR – Kempen tahunan SAJI Terima Kasih Malaysia (STKM) kembali tahun ini dengan tema “Rentak yang Berbeza, Sajian yang Sama”, sebagai simbolik kepada kepelbagaian budaya, muzik dan hidangan yang menyatukan rakyat Malaysia.
Dilancarkan sejak 2023, STKM dianjurkan oleh FGV Holdings Berhad menerusi jenama SAJI sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia atas sokongan berterusan yang menjadikan SAJI antara pilihan utama di setiap rumah.
“Sebagai rakan kulinari rakyat Malaysia, SAJI komited membawakan produk berkualiti tinggi pada harga mampu milik agar setiap hidangan lebih bermakna,” kata wakil FGV dalam satu kenyataan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2000 dengan minyak masak, SAJI terus berkembang dengan rangkaian produk lain seperti krimer, mi segera, sos masakan dan santan.
Kini, jenama itu bukan sahaja memenuhi keperluan harian, tetapi juga menjadi penghubung momen istimewa seisi keluarga.
Tema Rentak & Sajian dipilih untuk mengingatkan bahawa keharmonian hanya wujud apabila perbezaan diraikan, seumpama hidangan yang lengkap dengan pelbagai rasa.
Bagi menghidupkan kempen, sebuah video muzikal khas menampilkan Khayrisha Kemal dan Zalif Sidek, dengan lagu tema baharu nyanyian Liyashu, bakat muda yang semakin menyerlah.
“Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi satu wadah untuk menyatukan rakyat Malaysia. Walaupun rentak berbeza, akhirnya kita berkongsi meja yang sama,” ujar penganjur.
Kempen bermula di Kompleks Komuniti & Sukan Felda Palong 6 pada 16 hingga 17 Ogos lalu, bersempena Majlis Sentuhan Madani Felda dan Jempol Agrofest 2025. Antara pengisian termasuk pertandingan memasak, sukaneka, gubahan produk SAJI dan persembahan selebriti terkenal seperti Fiza Saad (Fiza Frizzy), Datuk Fazley Yaakob dan Atu Zero.
SAJI turut meneruskan program tanggungjawab sosial korporat menerusi Ziarah Kasih, dengan menyalurkan sumbangan tunai RM1,000 serta produk SAJI bernilai RM200 kepada 11 asnaf.
Selain itu, 1,000 penerima terawal menerima baucar tunai RM50 sebagai tanda penghargaan.
Kempen STKM akan diteruskan di ibu negara bermula 25 hingga 31 Ogos sempena Malam Ambang Merdeka di Fahrenheit, Bukit Bintang.
Warga Kuala Lumpur bakal dihiburkan dengan persembahan selebriti tanah air serta pelbagai aktiviti mesra keluarga.
“SAJI mengajak seluruh rakyat untuk meraikan kepelbagaian melalui rentak dan sajian yang menyatukan kita semua,” tambah kenyataan itu.



