MELAKA, – Produk pelancongan berasaskan sungai di utara Melaka kini diperkaya dengan pelancaran Eco Cruise Sungai Linggi@Kuala Linggi, yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Jeti Eco Cruise Sungai Linggi, Kuala Sungai Baru, semalam.
Majlis penuh meriah itu turut dihadiri barisan kepimpinan kerajaan negeri, pengarah agensi, ketua jabatan serta wakil-wakil rakyat daripada beberapa kawasan sekitar Parlimen Masjid Tanah. Kehadiran warga kerja Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) melengkapkan sokongan padu terhadap inisiatif baharu ini.

Acara disemarakkan dengan kibaran Jalur Gemilang, gimik perasmian khas, serta penyerahan cenderamata berupa bingkai bergambar kepada Ketua Menteri sebagai tanda penghargaan atas sokongan beliau terhadap pembangunan pelancongan sungai.
Selepas perasmian, Ab Rauf bersama tetamu kehormat berpeluang merasai sendiri pengalaman menyusuri keindahan Sungai Linggi melalui Eco Cruise, sebelum singgah di Kafe Terapung, Taman Lokan. Destinasi itu menampilkan sajian istimewa berasaskan hasil perairan Sungai Linggi seperti udang galah, ikan semilang dan ikan baung yang dijangka menjadi tarikan utama pelancong.
PPSPM dalam kenyataannya menegaskan bahawa projek ini bukan sahaja memacu ekonomi pelancongan negeri, malah mengukuhkan kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan dan komuniti setempat.
Pelancaran Eco Cruise Sungai Linggi diharap menjadi pemangkin kepada agenda VisitMelaka2025-2026 dan menyokong sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 sekali gus mengangkat Melaka sebagai destinasi pelancongan yang terus menggamit dunia.-SuaraTV



