MINDEF didesak audit aset tentera susulan cubaan seludup 96kg dadah – Akmal

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh mendesak Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjalankan audit menyeluruh terhadap rekod penerbangan, kelulusan kargo dan rantaian arahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) susulan kes cubaan mengedar kira-kira 96 kilogram methamphetamine di Pangkalan Udara Subang.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana sindiket dadah boleh menggunakan kemudahan dan aset ketenteraan sehingga bahan terlarang itu hampir dimuatkan ke dalam pesawat tentera.

Katanya, dapatan audit serta langkah pembetulan perlu dibentangkan kepada Parlimen setakat yang dibenarkan undang-undang, selain tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbukti melakukan kecuaian atau salah guna kuasa.

“Bagaimana muatan sebesar itu boleh sampai ke peringkat hendak dimuatkan ke dalam pesawat tentera?

“Siapa yang meluluskan kemasukan kargo itu? Adakah penghantaran lain pernah terlepas sebelum ini?” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, tiga pegawai TUDM dan tiga orang awam didakwa atas pertuduhan mengedar kira-kira 96 kilogram methamphetamine selepas dadah berkenaan dikesan ketika hendak dimuatkan ke dalam pesawat tentera.

Dalam pada itu, Akmal menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat keseluruhan rangkaian sindiket terbabit, termasuk pihak yang membiayai, mengatur penghantaran dan kemungkinan individu yang melindungi kegiatan berkenaan.

“Setinggi mana pun pangkat seseorang, siasatan mesti ikut bukti sampai ke atas,” katanya.

Beliau turut menghargai tindakan PDRM dan Provost Marsyal TUDM yang membongkar kes berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai bagaimana kejadian itu boleh berlaku serta langkah yang diambil bagi memastikan aset dan kemudahan ketenteraan tidak disalahgunakan untuk kegiatan jenayah pada masa hadapan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat