Teruskan bakti kepada rakyat, usah peduli tuduhan ‘Kabinet kitar semula’ – Abdul Hadi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Walaupun Kabinet baru kerajaan ini dikatakan sebagai “Kabinet kitar semula” sebenarnya ia adalah laksana mata rantai yang bersambung daripada gabungan parti yang sama,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ujar beliau, tuduhan Pakatan Harapan (PH) bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal
merupakan suatu pembohongan kerana tugas yang dipikul belum lagi selesai dan kerjanya masih dalam perjalanan.

“Sepatutnya mereka tunggu sehingga masa penamatnya.Khusus kepada barisan kabinet kerajaan yang akan menyambung tugas, ingatlah satu pepatah Arab pernah menyebutkan, ‘biarkan anjing dan serigala menyalak, namun perjalanan musafir hendaklah diteruskan’.

“Gabungan parti yang gagal dipecahkan dengan ketukan dindingnya yang kuat, dan gagal dicuri ahli Parlimennya oleh mereka yang menebuk atap.

“Mata rantai boleh ditukar mengikut keperluan dan atap yang retak boleh diganti, bukan dengan merobohkan bangunannya. Hal ini disebabkan apa yang berlaku sekarang bukannya membina bangunan yang baharu,” kata Abdul Hadi di Facebooknya pada Isnin.

Justeru tegas beliau, tanpa diragukan lagi bahawa Kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada tugas yang telah dilaksanakan oleh barisan Kabinet kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, Kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh PH dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat berada dalam kecemasan bagi menghadapi pandemik COVID-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka.

“Jangan dipedulikan tuduhan yang ditujukan terhadap kerajaan PN, kononnya telah gagal mengatasi wabak dan bencana yang menjadi ketentuan Allah SWT kepada seluruh dunia ini.

“Hal ini demikian kerana, kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan.

“Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PN sama sekali berbeza daripada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji yang mampu ditunaikan oleh mereka. Lebih-lebih lagi, ketika belum berlaku penularan pandemik COVID-19.

“Akan tetapi, wabak pandemik yang dihadapi oleh PH ialah wabak politiking berebut jawatan Perdana Menteri. Sehinggakan jawatan tersebut terpaksa ditinggalkan oleh pemimpinnya, bukan sahaja oleh ahli biasa.

“Di samping itu, kemenangan yang dicapai oleh PH adalah sangat rapuh bersama janji mereka yang tidak boleh ditunaikan. Janji bohong yang bertujuan menggula-gulakan rakyat semata-mata bagi mencapai kemenangan yang mentah, sehingga ia menyesakkan fikiran para pendukungnya,” jelas Abdul Hadi.

Beliau menambah, pertukaran Perdana Menteri boleh berlaku dengan tidak memecahkan kerajaan PN, dan ia sangatlah berbeza dengan PH yang tidak mampu menukar Perdana Menteri tetapi terus retak lalu berpecah.

Oleh itu katanya, Kabinet yang baharu dilakukan perubahan boleh meneruskan tugas dengan sebaik-baiknya.

Pada masa yang sama syor beliau kepada Jemaah Menteri supaya mendapatkan kerjasama yang bersemangat daripada jentera kerajaan dan pasukan keselamatan, khususnya mereka yang berada di barisan hadapan dalam menghadapi pandemik dan kesan sampingannya.


Tawaran kepada pihak pembangkang pada awalnya ditolak kerana kerakusan mereka untuk berkuasa semula, akhirnya dapat diterima juga kerana belum lagi menjadi sesal kemudian tidak berguna lagi. Akhirnya tawaran itu diterima, walaupun sebahagiannya sudah ditarik.

“Tindakan tersebut adalah suatu langkah yang sangat bertanggungjawab demi rakyat dahulu diselamatkan, sebelum menunaikan kegelojohan ahli politik.

“Satu keadaan yang sangat positif kepada Kabinet baru dan jentera kerajaan dalam menjalankan tugas, dengan harapan tiada lagi sebarang gangguan daripada PH yang tidak sabar menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” ujarnya.

Abdul Hadi berkata, jadikan pembangkang sebagai pembangkang yang menasihat, bukannya menggugat tanggungjawab untuk menyelamatkan rakyat dan negara.

“Jadikan urusan ini laksana berada dalam satu bahtera yang sama dalam menghadapi gelombang lautan yang mengaganas.

“Sekiranya semuanya selamat, kita semua selamat bersama. Dan sebaliknya jika tenggelam, maka semuanya tenggelam bersama juga,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat