PORT DICKSON – Setiausaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan kewajaran pendedahan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) sewaktu musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Namun Asyraf tegaskan, beliau menyambut baik kesediaan kerajaan untuk mendedahkan sekali gus mengambil tindakan sekiranya wujud salah laku dan bukannya sekadar bercakap untuk bermain sentimen bagi mewujudkan persepsi yang tidak baik.
Hal ini katanya, sekiranya perkara itu berlaku, ia tidak sihat kepada institusi orang Melayu dan Islam dari segi kelangsungan dan kelestarian organisasi.
“Palingnpenting sekali, jangan ada yang terlepaslah. Kenapa perlu dibuat hari ini sewaktu Pilihan Raya Negeri Sembilan? Itu menjadi tanda tanya orang ramai.
“Tetapi apa pun kita menyambut baik kesediaan untuk mendedahkan supaya semua dapat tahu. Dan yang paling penting, kalau ada salah laku, ambil tindakan.
“Jangan hanya sekadar bercakap dan bermain sentimen dan mewujudkan persepsi yang tidak baik,” katanya ketika ditemui media di Port Dickson pada Rabu.
Beliau bagaimanapun yakin pendedahan RCI Tabung Haji dalam kehangatan kempen PRN Negeri Sembilan tidak akan memberi kesan kepada sokongan pengundi terutamanya orang Melayu.
“Saya rasa pengundi amat bijaksana. Di Johor pun isu-isu lampau pun dibangkitkan. Contohnya menang besar… Barisan Nasional (BN) menang besar, Datuk Seri Najib akan dibebaskan.
“Jadi saya rasa pengundi cukup bijaksana untuk membuat keputusan dan juga membuat pendirian,” ujar Asyraf optimis.
Menjelaskan lebih lanjut, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu berkata, sudah 6 tahun Umno mendesak RCI Tabung Haji ini.
“Sebenarnya desakan ini yang kita minta… dah lama dah. 6 tahun dulu lagi saya sebagai Ketua Pemuda Umno, kitalah antara yang awal minta supaya dibuat Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat segala yang dituduh oleh pembangkang berkenaan dengan Tabung Haji.
“Dan kita minta supaya siasatan itu bukan hanya daripada tempoh sehingga 2020, tetapi sehingga ke peringkat bagaimanakah proses yang dikatakan pemulihan itu berlaku.
“… Penjualan aset, apakah benar-benar ia seperti mana yang dituntut oleh segala keperluan dari segi penstrukturan organisasi dan sebagainya.
“Saya kira memang seharusnya segala apa yang nak didedahkan itu mesti dibahas dan yang terbaiknya seperti mana RCI-RCI lain seperti RCI FELDA, ia harus dibahas di Parlimen juga supaya ia sekurang-kurangnya menjadi sesuatu yang diambil tanggungjawab oleh semua pihak,” tegas Asyraf.



