SEREMBAN – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yakin Barisan Nasional (BN) berupaya memperoleh mandat kukuh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan bagi membentuk kerajaan negeri yang dominan sekali gus menjamin kestabilan pentadbiran dan kesinambungan pembangunan.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tempoh berkempen, penerimaan rakyat terhadap BN adalah positif, manakala jentera parti khususnya Wanita UMNO telah membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi pilihan raya.
Menurutnya, kekuatan jentera wanita bukan sahaja terletak pada jumlah keanggotaan yang besar, malah kemampuan mereka menyampaikan fakta serta mendekati pengundi secara bersemuka dari rumah ke rumah.
“Kita masih mengekalkan pendekatan menyantuni pengundi secara personal. Selain merayu undi, kita juga mendengar sendiri masalah rakyat dan menjadi jambatan untuk menyampaikan suara mereka kepada pihak berkaitan.
“Walaupun tidak semua masalah dapat diselesaikan serta-merta, sekurang-kurangnya kita boleh memberi khidmat nasihat dan menunjukkan saluran yang sesuai untuk membantu mereka,” katanya dalam wawancara khas bersama Suara TV.
Mengulas isu yang paling banyak dibangkitkan pengundi, Norliza berkata, rakyat kini lebih mengutamakan kestabilan politik dan pentadbiran berbanding retorik politik atau janji pilihan raya.
Katanya, masyarakat mahu melihat rekod pencapaian dan kemampuan sesebuah kerajaan menyampaikan hasil, bukannya sekadar menawarkan janji.
“Kita mempunyai rekod pentadbiran yang baik dan itu menjadi asas keyakinan bahawa BN mampu membawa Negeri Sembilan ke tahap yang lebih cemerlang.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, kita memerlukan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan dominan supaya dasar serta polisi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya rakyat tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman yang dimainkan sepanjang kempen.
Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan mana-mana kerajaan yang mentadbir perlu berlaku adil kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Yang penting ialah siapakah yang mempunyai keupayaan mentadbir serta membawa negeri ini ke arah yang lebih cemerlang,” katanya.
Menyentuh mengenai penyertaan calon wanita dalam PRN Negeri Sembilan, Norliza berkata, walaupun jumlahnya tidak ramai, beliau yakin calon wanita BN memiliki pengalaman, rekod perkhidmatan serta kredibiliti untuk memenangi hati pengundi.
Katanya, beliau sendiri akan turun membantu kempen bagi memastikan kemenangan calon wanita dan keseluruhan calon BN di negeri itu.
Beliau berkata, antara kekuatan utama BN ialah pengalaman mentadbir serta kemampuan melahirkan pemimpin yang berwibawa, amanah dan rajin berkhidmat kepada rakyat.
“Wakil rakyat hari ini bukan sekadar memegang jawatan, tetapi perlu benar-benar menjadi suara rakyat di kawasan masing-masing. Saya yakin calon-calon BN yang diketengahkan mempunyai kemampuan itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh pengundi Negeri Sembilan supaya keluar mengundi seawal mungkin pada hari pengundian dan memberikan mandat kepada BN demi memastikan negeri itu terus menikmati pentadbiran yang stabil serta pembangunan yang mampan.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti khususnya Wanita BN yang bertungkus-lumus sepanjang kempen, sambil mengingatkan bahawa perjuangan mereka adalah demi memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana yang harmoni, selamat dan sejahtera.



