Oleh Zihan Zari
IPOH – Pendidikan kewangan sepatutnya bermula sejak usia muda supaya ia menjadi tabiat yang berterusan hingga dewasa.
Justeru itu, Politeknik Ungku Omar (PUO) bersama Malaysian Association of Muslim Finance Professionals (MFP) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh telah mengadakan program Celik Kewangan Remaja di Dewan Sekolah STAR, dekat sini baru-baru ini.
Seramai 157 peserta terdiri daripada 132 murid STAR, Ipoh dan 25 pelajar Diploma Kewangan Islam, PUO telah menyertai program itu bagi memperkukuh budaya literasi kewangan dalam kalangan generasi muda.
Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu berkaitan pengurusan kewangan melalui sesi perkongsian yang disampaikan oleh Pegawai MFP, Ahmad Naufal Abdul Rahman.
Selain itu, peserta turut mengikuti Financial Games dan pelbagai aktiviti interaktif yang menguji keupayaan membuat keputusan kewangan, mengurus bajet serta menyelesaikan situasi kewangan secara berkumpulan.
Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman itu membantu peserta memahami konsep kewangan secara lebih praktikal, menyeronokkan dan berkesan.
Program berkenaan bertujuan meningkatkan tahap literasi dan kesedaran kewangan dalam kalangan remaja, selain memberi pendedahan mengenai amalan pengurusan kewangan yang berhemah termasuk penyediaan bajet, tabiat menabung dan perancangan kewangan jangka panjang.
Di samping itu, penglibatan 25 pelajar Diploma Kewangan Islam PUO sebagai fasilitator memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan pengetahuan akademik, di samping mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan program dan kerja berpasukan melalui pengalaman bersama komuniti.
Pengarah PUO, Dr. Hjh. Salmi Che Meh berkata, pendedahan terhadap ilmu pengurusan kewangan sejak usia muda amat penting bagi melahirkan generasi yang mampu membuat keputusan kewangan secara bijaksana dan bertanggungjawab.
Beliau berkata, literasi kewangan merupakan kemahiran hidup yang perlu dipupuk sejak di bangku sekolah.
“Melalui program seperti ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan mengenai pengurusan kewangan yang berhemah, malah dibentuk menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dalam merancang masa depan kewangan mereka, ”katanya.
Katanya lagi, kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan badan profesional seperti MFP mampu memperkukuh ekosistem pembelajaran yang lebih relevan dengan keperluan semasa, selaras aspirasi PUO sebagai Politeknik APEX dalam melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing serta cakna terhadap keperluan masyarakat.
Sementara itu, pelajar Diploma Kewangan Islam PUO, Muhammad Kauthar Kamaruddin, menyifatkan program tersebut sebagai platform terbaik untuk menghubungkan pembelajaran di bilik kuliah dengan pengalaman sebenar melalui peranan sebagai fasilitator.
Pelajar Tingkatan 4 STAR, Khairul Fahim Aqil Khairul Faizi berkata, program itu membuka perspektif baharu mengenai kepentingan menyediakan bajet, menabung secara konsisten dan lmembuat keputusan kewangan yang lebih bijak sejak usia remaja.
Dalam perkembangan sama, kejayaan penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan PUO dalam memperkasa literasi kewangan masyarakat serta memperluas jaringan kolaborasi bersama rakan strategik demi melahirkan generasi yang lebih celik kewangan dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan.-SUARA.TV



