BATU PAHAT – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Puad Zarkashi mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi lebih banyak memberi tumpuan kepada kawasan bandar termasuk DUN Skudai yang diwakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Marina Ibrahim, berbanding menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di DUN Rengit.
Menurut Puad, beliau tidak menafikan Onn Hafiz merupakan seorang pemimpin yang rajin turun padang dan memberi layanan sama rata dari segi peruntukan kepada wakil rakyat.
Bagaimanapun, katanya, Menteri Besar perlu memberi keutamaan kepada kawasan yang berdepan masalah kritikal dan memerlukan campur tangan segera.
“Contohnya dalam kes DUN Rengit. Ada dua isu besar yang tidak selesai hingga hari ini iaitu masalah bekalan air dan benteng (ban) Kampung Berong Laut yang telah pecah berkali-kali.
“Beberapa kali saya minta Onn Hafiz turun dan datang sendiri ke Rengit sebagai ‘push factor’ kepada agensi kerajaan supaya menyegerakan penyelesaian. Tetapi Onn Hafiz lebih banyak tumpu kawasan bandar. Dia banyak ke Skudai yang wakil rakyatnya ialah Marina Ibrahim daripada DAP,” katanya dalam satu kenyataan.
Puad berkata, bagi isu bekalan air di Rengit, peruntukan untuk pembinaan tangki air baharu serta tapaknya telah diluluskan, namun proses pelantikan kontraktor masih tertangguh.
Beliau turut mendakwa jawapan yang diberikan pihak Exco kerajaan negeri di Dewan Undangan Negeri mengenai projek berkenaan sering berubah-ubah.
Menyentuh isu benteng di Kampung Berong Laut, Puad berkata beliau sendiri telah melawat kawasan itu lebih 25 kali bagi meninjau keadaan selepas benteng tersebut pecah.
Menurutnya, kehadiran Menteri Besar ke lokasi berkenaan penting bagi melihat sendiri kualiti kerja pembaikan serta kerosakan yang dialami penduduk, termasuk tanaman sawit yang musnah akibat banjir air masin.
“Dua hingga tiga tahun diperlukan untuk sawit pulih semula. Hanya 30 keluarga menerima pampasan, manakala ramai lagi masih menunggu. NADMA pula seperti tutup mata sebelah,” dakwanya.
Sehubungan itu, Puad menggesa pengundi di DUN Rengit menangguhkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) sehingga kedua-dua isu tersebut diselesaikan.
“Mereka itu pengundi. Saya minta pengundi Rengit tangguh dulu beri undi kepada BN sehingga dua isu besar ini selesai. Jadikan itu syarat. Ini bukan janji bulan dan bintang. Orang Rengit jaga Rengit,” katanya.
Puad yang sebelum ini merupakan ADUN Rengit tidak dicalonkan semula oleh BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kemudiannya mengumumkan keluar daripada UMNO selepas mempertikaikan proses pemilihan calon parti di negeri itu.



