Laluan pintar ke menara gading, Asasi Kejuruteraan POLIMAS jadi rebutan

Oleh Zihan Zari

JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima lonjakan luar biasa apabila pendaftaran pelajar baharunya bagi program Asasi Kejuruteraan Sesi 1-2026/2027.

Ia sekali gus membuktikan POLIMAS sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang terus menjadi rebutan dan pilihan.

Kehadiran seramai 122 pelajar baharu program ini berbanding norma kemasukan asal yang ditetapkan sebelum ini hanya 100 orang, mencerminkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap kebolehpasaran graduan yang dilahirkan di sini.

Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya berkata peningkatan angka tersebut bukan sahaja satu pencapaian membanggakan, malah menjadi penanda aras baharu terhadap komitmen institusi dalam melahirkan modal insan berkualiti.

“Lonjakan angka pendaftaran ini mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap kualiti kebolehpasaran graduan kami.

“POLIMAS komited menyediakan ekosistem pembelajaran terbaik demi melahirkan teknokrat masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan Sesi Taklimat Waris di POLIMAS dekat sini, baru-baru ini.

Sementara itu, tinjauan di lokasi pendaftaran mendapati rata-rata pelajar baharu amat teruja dan tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu dalam fasa kehidupan kampus mereka.

Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Annajah, Baling, Muhammad Adam Hanif Zulkipeli berkata peluang melanjutkan pengajian di POLIMAS dianggap sebagai platform terbaik untuknya melangkah lebih jauh lagi.

“Saya sangat seronok dapat masuk belajar di POLIMAS dan tidak sabar untuk meneroka bidang baharu yang mencabar ini,”katanya.

Nada sama turut dikongsi Nurul Syakinah Zainul Abidin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa, Kodiang yang menyifatkan sistem pengajian di institusi berkenaan mempunyai keunikan tersendiri.

“Saya sangat teruja kerana di sini kami boleh mempelajari kedua-dua elemen iaitu teori dan praktikal secara serentak dalam satu masa,”katanya.

Bagi Nur Rahmuna Yafis Nawawi dari SMK Guar Chempedak pula, dia mengakui ada perasaan gementar namun semangatnya untuk bergelar mahasiswa jauh lebih tinggi.

“Sejujurnya ada rasa gementar, tetapi pada masa sama saya sangat teruja untuk memulakan perjalanan pengajian di peringkat asasi di sini,”katanya.

Program Asasi Kejuruteraan POLIMAS merupakan antara laluan pintar yang ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melangkah terus ke peringkat ijazah sarjana muda dengan pengisian kurikulum yang dinamik dan berdaya saing.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat