Tablet Percuma PerantiSiswa Keluarga Malaysia (PRSIS) Pastikan Pengajian Mahasiswa Terpelihara

BAGI membantu proses pembelajaran mahasiswa di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang berada dalam kelompok keluarga B40, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama daripada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyediakan sebuah peranti ‘tablet’ percuma kepada setiap pelajar IPT melalui Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022.

Ini bertujuan membantu pembelajaran secara maya atau hibrid untuk kelangsungan pendidikan ketika fasa peralihan endemik.

Inisiatif Kerajaan ini dilakukan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam kemajuan teknologi dan dapat beradaptasi dalam menghadapi kemunculan ekosistem digital pada masa hadapan.

Inisiatif ini juga membuktikan keprihatinan Kerajaan yang cakna dengan keperluan pembelajaran terutamanya bagi golongan B40 bagi membentuk komuniti digital Keluarga Malaysia serta merapatkan jurang digital antara semua kelompok.

Bagi tujuan tersebut, Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM450 juta membabitkan tempahan 350,000 unit peranti di samping komitmen syarikat telekomunikasi yang turut menyumbang kira-kira RM65 juta.

Program dan inisiatif ini jdijangka akan memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 pelajar di seluruh negara tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Kelayakan untuk mendapat tablet percuma ini hendaklah memenuhi syarat iaitu mahasiswa warga negara Malaysia yang berada dalam kelompok keluarga B40 yang mempunyai purata bulanan pendapatan seisi rumah di bawah RM4,850.

Inisiatif ini juga layak diterima kepada mereka yang tidak pernah menerima bantuan peranti daripada mana-mana program di bawah Kerajaan sebelum ini.

Kira-kira 350,000 pelajar golongan B40 di IPT awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma, diploma lanjutan serta ijazah sarjana muda, layak memohon inisiatif tersebut.

Inisiatif kerajaan ini juga turut melibatkan beberapa syarikat telekomunikasi iaitu Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memuktamadkan bahawa peranti itu berbentuk tablet yang dilengkapi aksesori termasuk papan kekunci dengan jenama terkenal dalam pasaran dan bukan berkualiti rendah.

Peranti yang dibekalkan juga mempunyai ciri spesifikasi minimum yang antara lain mempunyai skrin 10.1” paparan FHD, Android OS 10 dan ke atas, 4G LTE (menyokong frekuensi LTE telco di Malaysia), minimum RAM 4GB, slot SD Micro sehingga 256GB dan pelbagai lagi ciri yang menarik.

Bagi tarikh pendaftaran dan permohonan ia telah pun dibuka sejak 15 April 2022 dengan melayari pautan https://perantisiswa.kkmm.gov.my/ dan Pemakluman keputusan akan dibuat melalui e-mel kepada pemohon yang berjaya.

Manakala pengagihan peranti pula akan mula dilaksanakan pada bulan Jun 2022 dan dijangka kumpulan pertama penerima tablet program PerantiSiswa Keluarga Malaysia pada minggu kedua Jun, bergantung pada proses penghantaran oleh pembida-pembida yang dipilih.

Peranti akan diagihkan melalui dua sesi, iaitu sesi pertama membabitkan 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penerima dan ia diutamakan kepada pemohon yang mempunyai data lengkap.

Bagi sesi kedua iaitu kes rayuan dan agihan ini tidak lewat daripada 60 hari selepas sesi pertama dan pihak IPT akan diberi taklimat lanjut oleh K-KOMM serta KPT untuk kelancaran pelaksanaan inisiatif ini.

Bagi kaedah pemulangan pula, peranti akan diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) kepada mahasiswa dan perlu diserahkan semula setelah tamat pengajian atau dalam tempoh yang ditentukan oleh Pentadbir Program.

Peranti perlu dipulangkan apabila mahasiswa tersebut telah menamatkan pengajian, berhenti pengajian, dibuang pengajian, menyalahgunakan peranti yang dibekalkan sehingga mendatangkan kemudaratan atau menyalahi undang-undang negara; atau melanggar apa-apa syarat yang ditentukan oleh Pentadbir Program dari semasa ke semasa.

Penerima peranti perlu melaporkan kerosakan, kehilangan atau kecurian tablet tersebu\t melalui kaedah pelaporan yang akan ditentukan kelak untuk tindakan lanjut oleh Pentadbir Program.

Manakala pihak pentadbir program atau mana-mana pihak yang diberi kuasa oleh pentadbir program berhak untuk mengarahkan penerima peranti untuk menyerahkan tablet tersebut untuk diperiksa pada bila-bila masa.

Dalam pada itu penerima peranti adalah bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga keselamatan peranti yang diterima.

Selain itu, penerima peranti juga perlu memastikan peranti yang diterima tidak diconteng, ditulis atau dibuat sebarang jenis perlakuan yang boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan kepada peranti tersebut.

Penerima peranti perlulah mematuhi peraturan/polisi keselamatan siber IPT atau agensi-agensi kerajaan yang berkuatkuasa dan menggunakan peranti dengan sebaik-baiknya untuk pembelajaran kendiri serta tidak digunakan untuk mengakses laman sesawang yang menyalahi undang-undang negara.

Sekiranya melanggar apa-apa syarat atau menyebabkan sesuatu kehilangan atau kerosakan ke atas peranti disebabkan kecuaian penerima boleh dikenakan penalti yang ditetapkan.

Diharap dengan pemberian peranti tablet percuma yang akan diagihkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari golongan B40 melalui inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia ini dapat memberi manfaat serta memudahkan mahasiswa mengikuti aktiviti pembelajaran.