KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berkongsi sebab pemimpin bersengketa tetapi akhirnya bersatu semula.
Bendahari Umno Sabah itu memberitahu, ramai pemimpin sebenarnya mempunyai matlamat yang sama mahu bela rakyat dan bangunkan negara, tapi cara dan pendekatan berbeza, lalu timbul perbezaan pandangan.
Kadang-kadang kata beliau, kesetiaan kepada parti menghalang kerjasama walaupun niat sama, hal ini kerana parti tetap diutamakan.
“Persaingan jawatan dan pengaruh juga jadi punca. Bila kepentingan peribadi mendahului kepentingan rakyat, perbalahan sukar dielak.
“Suara dari penyokong dan penasihat juga beri tekanan. Ada yang mahu berkompromi, tapi dihalang oleh sekeliling yang lebih keras.
“Bila tidak biasa berbincang dengan terbuka dan ikhlas, mudah timbul prasangka. Musyawarah jadi lemah, sengketa makin melebar,” katanya.
Namun ujar Salleh, ketegangan politik selalunya sementara.
“Bila pilihan raya selesai, ramai kembali berperanan seperti biasa.
“Hubungan peribadi antara pemimpin biasanya tetap baik. Mereka pernah berkawan, bekerja bersama, dan tahu had masing-masing.
“Dalam politik, tiada musuh yang kekal. Apa yang berlaku hari ini boleh berubah esok demi keperluan dan kestabilan.
“Rakyat pula mahu pemimpin bersatu. Mereka harapkan kematangan, bukan permusuhan yang berpanjangan.
“Perbezaan itu biasa. Tapi yang penting, pemimpin tahu bila perlu bersaing, dan bila perlu bersatu demi rakyat,” ungkap Salleh.