KUALA LUMPUR – Bagi mengelak situasi huru-hara Adun Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem memperingatkan pesanan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung garis merah antara Umno dan DAP ketika awal pembentukan kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Menurut Helmy, Umno dan DAP boleh diibaratkan sebagai minyak dan air yang tidak bercampur namun tetap mengalir ke arah yang sama iaitu rakyat.
“Ibarat minyak dan air – Umno dan DAP kalau tak boleh campur, jangan campur. Letakkan sempadan sebab itu Presiden Umno cakap ada garis merah yang kita perlu patuhi.
“Jadi air duduk di air, minyak duduk di minyak tapi dia mengalir ke arah yang sama iaitu rakyat.
“Jangan campur bila campur jadi huru-hara, hal Melayu Cina jangan campur berlebihan, hal Cina Melayu jangan campur berlebihan… duduk di sempadan garis merah, ikut elok-elok jadi dia mengalir ke arah yang sama.
“Presiden dah tetapkan garis merah, ikut jangan melawan,” katanya dalam podcast Agenda Massa.
Sementara itu ditanya berkait perkembangan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka akan berlangsung tahun ini, di mana DAP mencadangkan formula 14+14 untuk pembahagian BN dan PH.
Helmy menegaskan, Umno-BN sudah membuat keputusan “winner stays” maknanya penyandang kerusi DUN yang menang PRN 2021 kekal calon PRN 2026.
“PRN Melaka DAP minta PH tanding 14 kerusi namun keputusan parti dah buat dah “winner stays” setiap parti ada keputusan masing-masing saya yakin dan percaya Presiden, Pengerusi Perhubungan saya dah menimbang tara yang terbaik keputusan yang diyakini yang memberi manfaat kepada semua, jadi masing-masing pertahankanlah.
“Kalau terlalu dengar cakap akar umbi sangat pun tak pergi ke mana kita.
“Setakat ini BN kekal lawan 21 kerusi, tapi lepas ini kalau ada perubahan keputusan akhir kita akur,” ujarnya.
Akui BN kalah enam kerusi Parlimen pada PRU lalu, Helmy memberitahu untuk PRN Melaka 2026 ini BN akan hadir sebagai kerajaan.
Jadi katanya, rakyat akan menilai berdasarkan prestasi namun pembangkang akan hadir dengan janji.
“Jadi retorik 2021 menang bergaya pilihan raya 21 kerusi dah tak ada lagi, retorik 2022 menang 6 kerusi Parlimen dah tak ada lagi sebab rakyat akan menilai kepada 2 perkara kerajaan berdasarkan prestasi, pembangkang berdasarkan janji.
“Jadi saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri Melaka di bawah Ab Rauf sudah membuat sedaya upaya dalam tempoh yang ada ini mengembalikan Melaka ke platform yang sepatutnya dari segi ekonomi, tadbir urus, kebajikan rakyat,” ujarnya.
Berkenaan rakan kongsi strategik yang bakal menjadi pilihan BN sama ada PH atau PN, Helmy menyerahkan kepada penilaian Presiden Umno.
“Pilih PH atau PN -open secret -bersama PH kelebihan begini manakala bersama PN kelebihannya begini mana-mana pun lebih kurang sama tetapi yang mana lebih memanfaatkan kepada parti, rakyat.
“Saya yakin presiden akan menilai dalam konteks yang sangat besar, kita tengok keputusan akhir dibuat bagaimana kerana saya yakin apabila sampai masa keputusan itu dibuat yang nampak macam perbalahan ini akan nampak satu titik penyelesaian,” katanya.



