Helmy tegaskan sokongan terhadap Akmal sebagai sahabat lama, meski ada perkara berbeza pandangan

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menegaskan beliau akan terus berdiri bersama sahabat baiknya, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh dalam apa jua keadaan, khususnya dalam dunia politik.

Helmy mengakui meskipun tidak semua pandangan mereka sehaluan, namun beliau tidak mahu Akmal berdepan sebarang tekanan atau cabaran seorang diri selepas keputusan yang dibuat oleh ADUN Merlimau itu.

Beliau turut menyentuh cakap-cakap bahawa sokongannya terhadap Akmal mungkin memberi kesan kepada penerimaan sebahagian pengundi, namun menegaskan persahabatan tetap menjadi keutamaan.

“Saya bukan tak ada pendirian, tapi ketika saya berkawan, saya berkawan sebaik mungkin. Ketika berlawan, saya berlawan sehabisnya.

“Memang saya tak setuju semua pandangan Akmal, tapi apa saja berlaku kepada dia, saya akan pertahankan dia.

“Mungkin ada perkara betul pada dia tak betul pada saya, atau betul pada saya tak betul pada dia. Tapi sebagai kawan, bila keputusan sudah dibuat, saya takkan biarkan dia keseorangan.

“Orang kata sokongan saya boleh menjejaskan sokongan Cina kepada saya, tapi saya tetap akan sokong Akmal,” katanya dalam podcast Agenda Massa.

Mengimbau perkenalan mereka, Helmy berkata insiden tragedi MH17 menjadi titik awal hubungan rapat antara beliau dan Ketua Pemuda UMNO itu.

“Saya kenal Akmal sejak peristiwa MH17 ditembak jatuh. Tempat pertama dia berceramah berkongsi pengalaman sebagai penterjemah di Rusia adalah di Duyong. Dari situ kami mula berkawan, sebelum masuk politik,” katanya.

Helmy turut menceritakan bagaimana persahabatan mereka terjalin ketika kedua-duanya bertatih dalam perjuangan politik ketika UMNO berada dalam keadaan sukar.

“Kami berkawan waktu masing-masing belum ada apa-apa. Bukan saya saja, dia pun sama. UMNO pun ketika itu dalam keadaan orang ramai menjauh,” ujarnya.

Ditanya mengenai keputusan Akmal melepaskan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Helmy mengakui beliau tidak bersetuju dan mereka pernah berbeza pandangan dengan agak tegang.

“Kalau tanya saya, memang saya tak setuju. Saya cakap terus dengan dia. Tapi dia ada pendirian sendiri, pegangan sendiri.

“Sebagai Ketua Pemuda, mungkin tanggungjawab dia berbeza daripada saya. Dia ada hujah dia,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat