Kedudukan kewangan Sarawak kukuh mampu laksana pendidikan tinggi percuma 2026

- Advertisement -

KUALA LUMPUR -Dasar pendidikan tinggi percuma di Sarawak yang dijangka dilaksanakan kerajaan negeri itu pada 2026 dilihat mampu meningkatkan produktiviti bagi jangka masa panjang.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Sarawak memiliki keupayaan berbelanja susulan kedudukan kewangannya yang kukuh dalam Belanjawan 2024 dengan lebihan imbangan fiskal bakal dicapai adalah RM386 juta.

“Kerajaan Sarawak berupaya untuk berbelanja terutamanya kepada perbelanjaan yang akan mendatangkan produktiviti tinggi pada masa akan datang.

“Pada tahun hadapan, kerajaan Sarawak mengunjurkan ekonominya akan bertumbuh pada kadar lima hingga enam peratus, melebihi jangkaan keluaran dalam negara kasar (KDNK)di peringkat nasional iaitu sekitar empat hingga lima peratus,” lapor BH.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee dilaporkan berkata dasar pendidikan tinggi percuma Sarawak yang dijangka dilaksanakan pada 2026 tidak akan menyebabkan kenaikan cukai atau pengurangan di dalam pembangunan sektor-sektor lain.

Sebaliknya dasar itu, katanya, boleh dipertahankan menerusi satu model kewangan kukuh yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam tahun-tahun sebelum ini dan ia terbukti apabila Sarawak terus menyaksikan kenaikan pendapatannya beberapa tahun lalu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Oktober lalu, berkata pendidikan percuma di universiti serta institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak adalah untuk anak jati Bumi Kenyalang dan dijangka dilaksanakan pada 2026.

Mengulas lanjut, Mohd Afzanizam berkata dengan jangkaan ekonomi yang bakal berkembang pesat, tumpuan terhadap sektor pendidikan adalah sesuatu tepat untuk dilaksanakan.

“Ini adalah kerana keupayaan kewangan negeri yang tinggi seharusnya disalurkan kepada perkara yang boleh membawa peningkatan produktiviti jangka panjang.

“Bagaimanapun, perkara berkenaan agak sukar dilaksanakan di peringkat Persekutuan susulan kekangan kewangan kerajaan yang masih berada dalam keadaan defisit,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata peruntukan untuk pendidikan kekal sebagai tertinggi dalam belanjawan tahunan kerajaan Persekutuan .

“Pendidikan percuma di peringkat kerajaan Persekutuan hanya boleh menjadi realiti jika beberapa syarat dipenuhi seperti meningkatkan yuran pengajian untuk pelajar antarabangsa dan bilangan mereka meningkat dengan ketara.

“Institusi pendidikan juga perlu ditadbir dengan cekap supaya kos pengurusan berada di tahap yang rendah dan hasil pendapatan kerajaan Persekutuan akan meningkat,” katanya.

Ahmed Razman berkata kerjasama dengan swasta perlu dilakukan yang mana industri berkenaan akan membiayai kos pendidikan pelajar untuk diambil sebagai pekerja mereka di masa hadapan.

Kredit foto: LinkedIn

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat