KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah akan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri bagi memngatasi masalah bekalan air yang dihadapi oleh rakyat di negeri itu sejak sekian lama.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata beliau yakin penubuhan suruhanjaya itu akan memulihkan masalah pengurusan air di negeri itu.

“Kita yakin penubuhan suruhanjaya air ini akan mengurangkan birokrasi dan meningkatkan kecekapan negeri mengurus masalah air yang sekian lama berlaku di negeri ini.

“Dengan penubuhan suruhanjaya air, bantuan secara langsung dapat diperolehi daripada Kerajaan Pusat untuk menampung kos perbelanjaan yang tinggi,” katanya pada Bengkel Halatuju JANS, semalam.

Sehubungan itu jelasnya, pindaan terhadap enakmen air sedia ada di Sabah mesti dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri.

“Enakmen itu berfungsi seperti Akta Industri Perkhidmatan Air dan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang digunakan di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Penubuhan suruhanjaya itu bakal mengubah imej perkhidmatan bekalan air di negeri ini,” katanya.

Dalam hal berkaitan, Bung Moktar berkata usaha menangani isu bekalan air di Sabah memerlukan kira-kira RM13 bilion termasuk untuk mengganti rangkaian paip lama dan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) yang bermasalah.