KUALA LUMPUR – Belanjawan 2026 bakal memberi tumpuan khusus kepada agenda pendidikan dengan penekanan kepada pemerkasaan prasekolah, pendidikan khas serta pelaksanaan kerangka anti-buli di institusi pendidikan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurut beliau, tumpuan tersebut turut merangkumi usaha memacu pendidikan digital dan TVET, selaras dengan keperluan masa depan negara.
“Berdasarkan konsultasi dengan pelbagai pemegang taruh pendidikan, KPM membawa beberapa keutamaan dalam perbincangan bersama Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan baru-baru ini. Antara fokusnya ialah pendidikan digital dan TVET, kerangka anti-buli, prasekolah serta pendidikan khas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Fadhlina menambah, Belanjawan 2026 yang merupakan siri keempat Belanjawan MADANI penting kerana ia turut berkait rapat dengan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Persekolahan 2027.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Amir Hamzah dan pasukannya atas pertimbangan yang diberikan terhadap agenda pendidikan dalam belanjawan negara.



