KUALA LUMPUR -Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mengingatkan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mengulangi tindakan yang disifatkannya sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Peringatan itu dibuat susulan perkembangan terbaharu kemelut politik dan pentadbiran negeri yang berlarutan hampir empat bulan.
Dalam kenyataan, Majlis Pimpinan Negeri PH Negeri Sembilan menjunjung kasih atas kebijaksanaan dan ketegasan Tuanku Muhriz dalam menangani krisis berkenaan, selain menegaskan kepentingan semua pihak menghormati kedudukan serta kuasa baginda sebagai pemerintah negeri yang sah.
PH Negeri Sembilan mendakwa tindakan kepimpinan BN-PN sejak awal krisis itu merupakan satu bentuk penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar.
Dakwaan itu merujuk tindakan kerajaan BN-PN yang secara kolektif menerima proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebelum menarik balik keputusan serta surat yang dikemukakan kepada Raja-Raja Melayu.
Malah, PH Negeri Sembilan berkata, pengesahan kerajaan BN-PN sendiri bahawa proklamasi berkenaan tidak sah memperlihatkan percanggahan serius dalam keputusan yang dibuat.
Sehubungan itu, PH mengingatkan pemimpin yang sudah mengangkat sumpah supaya tidak mengulangi tindakan sedemikian, sebaliknya mempertahankan institusi negeri dan mematuhi undang-undang.
“Segala titah Tuanku Muhriz perlu dihormati dan dipatuhi. Kedudukan serta kuasa baginda sebagai pemerintah negeri yang sah tidak seharusnya dipertikaikan,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Dalam perkembangan sama, PH Negeri Sembilan mempersoalkan hasil yang dicapai selepas hampir empat bulan kemelut politik bermula susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, krisis yang pada awalnya mencetuskan perubahan sokongan politik itu akhirnya berlarutan menjadi pertikaian sesama kepimpinan BN-PN, termasuk perebutan jawatan Menteri Besar, pertikaian sokongan ADUN dan kegagalan menyelesaikan pembentukan barisan Exco.
PH turut membangkitkan kesan ketidaktentuan politik terhadap ekonomi, keyakinan pelabur serta kesinambungan dasar pembangunan negeri yang dibina sejak tujuh tahun lalu.
“Ketidaktentuan berhubung pembentangan Belanjawan Negeri 2027 juga perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan gangguan terhadap peruntukan dan fungsi pentadbiran tertentu.
“Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa percaturan politik yang berpanjangan. Kerajaan negeri perlu kembali memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan pelaksanaan inisiatif untuk rakyat,” katanya.
Pada masa sama, PH Negeri Sembilan berpandangan bahawa sekiranya kemelut politik kembali berulang sehingga kerajaan tidak mampu berfungsi dengan stabil, pilihan mengembalikan mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan.
Bagaimanapun, langkah itu perlu dilaksanakan mengikut proses dan lunas perlembagaan.


