KUALA LUMPUR – Masyarakat Melayu tidak boleh terus ‘disuap’ walaupun perlu dibantu dari segi pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, orang Melayu itu tidak boleh sentiasa disuap dengan segala kesenangan sehinggakan mereka terlalu bergantung harap kepada orang lain.
Dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sambutan ulang tahun ke-25 Universiti Teknologi Mara (UiTM), Anwar berkata, universiti itu memainkan peranan penting dalam membantu masyarakat Melayu maju sehingga boleh berdikari.
Anwar berkata, sejarah UiTM perlu dimaknai dengan kefahaman tentang cabaran dan permasalahan menyelubungi pendidikan orang Melayu.
Menurutnya, sasterawan terkemuka Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) pernah menyatakan bahawa kemiskinan bagi orang Melayu bukan hanya dari segi harta dan wang ringgit, malah dari segi ‘pendidikan, hemat dan cita-cita orang Melayu itu sendiri’.
“Atas sebab kemunduran dan kemiskinan inilah, UiTM masih kekal relevan sehingga ke hari ini, katanya.
“Kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa orang Melayu dan Bumiputera perlu dibantu dengan pendidikannya … kebanyakan (golongan ini) datang daripada golongan masyarakat yang tersusah.
“(Namun), orang Melayu itu tidak boleh sentiasa disuap dengan segala kesenangan sehinggakan mereka terlalu bergantung harap kepada orang lain.
“Di sinilah peranan penting UiTM, untuk membawa suatu kemajuan pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera sehingga mereka boleh berdiri sendiri dan menjadi pencipta nilai dalam ekonomi masyarakat,” katanya memetik laporan FMT di Shah Alam.
Anwar turut memuji UiTM kerana ‘berjaya mengekalkan malah memartabatkan citra Bumiputera dan pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan’.
UiTM yang pada mulanya dikenali sebagai Dewan Latihan RIDA ditubuhkan pada 1956 dengan matlamat mengubah nasib anak bangsa melalui pemindahan ilmu.
Tahun demi tahun kemudian, institusi itu bertukar nama daripada Maktab Mara kepada Institut Teknologi Mara (ITM) sebelum dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 26 Ogos 1999.
UiTM kini berada pada kedudukan ke-587 dalam QS World University Rankings 2025; kedudukan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024; dan ke-151 di Asia dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024.
Universiti itu juga membangunkan Hospital Al-Sultan Abdullah di Puncak Alam sebagai hospital universiti dengan pasukan pakar terlatih dan kemudahan berteknologi tinggi, menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada masyarakat.
“Malam ini bukan sahaja untuk meraikan pencapaian UiTM sebagai sebuah universiti, malah menyuntik semangat untuk kita sama-sama meneruskan kembara akademik ini dengan memandang ke hadapan, memanfaatkan ruang dan peluang agar institusi keramat orang Melayu dan Bumiputera ini dapat mencipta lebih banyak kejayaan.
“Alhamdulillah, UiTM berjaya memenuhi visi dan misi membangunkan anak Melayu dan Bumiputera … Sungguhpun begitu, kita tidak boleh terlalu selesa dengan pencapaian yang dimiliki, katanya.
“Janganlah kita alpa, janganlah kita lalai dan janganlah kita leka … Marilah kita bersama-sama meraikan semangat kejayaan dan memperkukuhkan ukhuwah dalam membawa universiti ini ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.