Tiada Masa, Hari Tambahan Sidang Dewan Rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memohon Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, melanjutkan jumlah hari persidangan khas Dewan Rakyat yang dijadualkan berakhir 2 Ogos depan.

Anwar (PKR-Port Dickson) turut memohon jumlah ahli Parlimen yang dibenarkan masuk dalam Dewan Rakyat untuk berbahas ditambah kerana ramai tidak dapat menyatakan pandangan berhubung pelbagai isu, khususnya berkaitan COVID-19 berikutan tempoh yang terhad.

“Ramai Ahli Parlimen tidak dapat menyatakan pandangan kerana masa amat terbatas, selain kerana ketetapan yang dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai COVID-19.

“Saya minta pertimbangan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk berbincang dengan menteri untuk menambah jumlah hari kerana beberapa isu seperti pendidikan dan kesihatan tak dapat dibahas secara terperinci,” katanya di Parlimen, pada Khamis.

Kata Azhar, kuasa melanjutkan jumlah hari persidangan khas Dewan Rakyat yang kini ditetapkan selama lima hari sehingga 2 Ogos, adalah milik menteri dan bukan Speaker Dewan.

Beliau memaklumkan, ia selaras Peraturan Mesyuarat 12(1) yang memperuntukkan seorang menteri boleh mengubah waktu persidangan tanpa pemberitahuan bagi usul yang diputuskan tanpa pindaan atau perbahasan.

Justeru, Azhar memaklumkan, permintaan Anwar untuk menambah jumlah hari persidangan perlu dibincang secara terus dengan menteri berkaitan.

“Kuasa saya ada pada Peraturan Mesyuarat 12(3) yang memperuntukkan Yang Dipertua boleh melanjutkan masa mesyuarat selepas jam 5.30 petang atau apa-apa masa yang ditetapkan, tidak melebihi 15 minit.

“Jika giliran saya mempengerusikan mesyuarat ketika jam 5.30 petang, saya gunakan kuasa ini untuk lanjutkan sehingga maksimum 15 minit, namun ini sahaja kuasa saya.

“Untuk melanjutkan masa atau tambah jumlah hari, Peraturan Mesyuarat 12(1) peruntukkan kuasa kepada menteri, sekali gus terpulang kepada beliau untuk meminda tempoh persidangan jika didapati sesuai,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan kemudian bangun memaklumkan tidak akan melanjutkan masa dan hari persidangan, selaras pandangan pakar.

Beliau berkata, ia berdasarkan perbincangan antara beberapa menteri dan sejumlah Ahli Parlimen pembangkang bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pada 26 Julai lalu.

“Dalam mesyuarat itu, Dr Noor Hisham beri dua cadangan. Pertama, persidangan tak boleh diadakan langsung kerana dalam keadaan biasa, sekiranya 77 individu dalam satu tempat didapati positif COVID-19, ia sudah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Pilihan kedua, hadkan jumlah kehadiran Ahli Parlimen pada satu-satu masa dan hadkan waktu sehingga jam 2 petang, namun kemudian diputuskan semua dibenarkan hadir dan waktu persidangan adalah sehingga jam 5.30 petang.

“Bagi lanjutan waktu dan hari, berdasarkan pandangan pakar, saya ingin sahkan bahawa saya mendapat mandat Ketua Majlis untuk tidak melanjutkan waktu melebihi jam 5.45 petang atau hari persidangan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat