Pembunuhan beramai-ramai dilakukan Israel di Rafah sudah melampaui tahap mengerikan

- Advertisement -

THE HAGUE- Afrika Selatan memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) hari ini bahawa keganasan Israel melakukan pembunuh beramai-ramai atau genosid kini semakin meningkat di Rafah dan sudah melampaui tahap mengerikan.

Sehubungan itu, Afrika Selatan memohon mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengarahkan Israel menghentikan serta merta serangan di Rafah.

Prosiding perbicaraan dua hari di The Hague dimulakan dengan Afrika Selatan memohon hakim untuk memerintahkan gencatan senjata di seluruh Gaza.

Peguam, Vusimuzi Madonsela, berkata Afrika Selatan berharap, pada hari terakhir perjuangan negara itu di mahkamah nanti ia dapat menghentikan kekejaman Israel, sekaligus membela rakyat Palestin dan menjamin kelangsungan hidup mereka.

“Ini kerana pembunuhan secara beramai-ramai Israel dilihat bukan sahaja berterusan, namun sudah melangkaui tahap baharu lagi mengerikan sementara dunia hanya memerhati,” katanya menurut laporan AFP.

Malah, hanya beberapa minit sebelum prosiding perbicaraan mahkamah dimulakan, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, mengesahkan serangan di Rafah akan diteruskan dengan pasukan tentera tambahan dikerahkan ke kawasan itu.

ICJ mendengar banyak tuduhan terhadap Israel dari peguam yang mewakili ibu negara Afrika Selatan, Pretoria, termasuk kewujudan kubur secara besar-besaran, penyeksaan, dan tindakan sengaja menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pada Januari, ICJ memerintahkan Israel untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi mencegah tindakan pembunuhan beramai-ramai dan membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza tetapi tidak mengarahkan gencatan senjata.

Afrika Selatan berpendirian suatu tindakan baharu perlu dilakukan ICJ susulan perkembangan terkini di Rafah di mana penduduknya semakin berkurangan dan tidak akan ada sesiapa lagi untuk dilindungi pada suatu masa nanti.

Peguam mewakili Afrika Selatan, Vaughan Lowe, pula berkata serangan di Rafah adalah usaha kemuncak dalam tindakan untuk memusnahkan Gaza dan rakyat Palestin oleh Israel, dengan menggunakan alasan memerangi pejuang Hamas.

“Perkembangan terkini di Rafah mendorong Afrika Selatan kembali ke ICJ membawa rintihan suara rakyat Palestin.

“Hanya mahkamah boleh memerintahkan perlindungan yang diperlukan rakyat Palestin daripada pembunuhan beramai-ramai ini,” katanya.

Seorang lagi peguam, Adila Hassim, berkata sekiranya Rafah musnah, ia membawa maksud kehancuran Gaza secara keseluruhannya.

“Ini kerana Rafah adalah hab kemanusiaan utama untuk bantuan di Gaza dan sekiranya Rafah jatuh, Gaza juga jatuh.

“Menghalang bantuan kemanusiaan adalah tindakan yang dengan sengaja ingin memadamkan nyawa rakyat Palestin, melenyapkan mereka sama sekali,” katanya menahan sebak.

Sementara itu, Israel dilaporkan akan memberikan maklum balas di mahkamah hari ini.

Namun, regim Zionis sebelum ini yang kononnya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada undang-undang antarabangsa, tetap menganggap kes yang dibawa Afrika Selatan itu ‘tidak berasas dan menjijikkan secara moral’.

Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat (AS) turut menentang kes yang dibawa Afrika Selatan ke ICJ.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel, berkata pihaknya tidak percaya perkembangan terkini yang berlaku di Gaza boleh ditakrifkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

“Kami pasti dengan fakta itu dan percaya bahawa dakwaan berkenaan adalah palsu serta tidak wajar,” katanya ketika ditanya pemberita berhubung perkembangan terbaharu itu.

Jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, berkata tuntutan Afrika Selatan secara moral dan faktanya adalah terpesong selain didakwa menyalahgunakan Konvensyen Genosid dan ICJ.

Menurut Agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA), sekurang-kurangnya 600,000 rakyat Palestin melarikan diri dari Rafah sejak operasi ketenteraan ditingkatkan di kawasan itu dan kini tiada tempat berlindung serta terdedah kepada pengeboman Israel.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat