Kes Zulfarhan: 12 bekas penuntut UPNM berdepan kesan sepanjang hayat, hidup terumbang-ambing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang menyebabkan kecederaan terhadap Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu, memberitahu Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Selasa bahawa mereka telah menerima kesan kejadian sepanjang hayat.

Peguam, Azizzul Shariman Mat Yusoff menghujahkan demikian ketika prosiding rayuan 12 bekas penuntut UPNM untuk membatalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan berkenaan di hadapan tiga panel hakim diketuai Hakim, Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Beliau yang mewakili perayu, Muhammad Adib Iman, Mohamad Syazwan dan Luqman Hakim berkata, sebahagian daripada 12 bekas penuntut ini telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan cahaya mata.

Menurutnya, ekoran kes ini, mereka yang kini berusia 28 tahun, tidak boleh melanjutkan pelajaran di UPNM seterusnya terpaksa mencari pekerjaan menggunakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jika hukuman penjara dikenakan, mereka akan dibuang kerja, seterusnya menyebabkan keretakan rumah tangga.

“Bukan itu sahaja, mereka berdepan saman oleh kerajaan sebanyak RM30,000 terhadap biasiswa yang diberikan kerana gagal menamatkan pengajian,” katanya, lapor Sinar Harian.

Justeru itu, beliau memohon mahkamah membenarkan rayuan mereka dan menukarkannya kepada bon berkelakuan baik.

Beliau berkata, ini kerana semua perayu ini merupakan pesalah muda serta tidak pernah terlibat dalam jenayah.

Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Muhamad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar dan Muhamad Ashraf Abdullah berkata, kes ini juga menyebabkan kehidupan anak guamnya terumbang-ambing.

“Mereka merupakan pelajar pintar, namun kejadian ini menyebabkan sebahagiannya terpaksa bekerja sebagai pemandu e-hailing, malah berkecimpung dalam bidang perladangan,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Hadhariah, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Sementara itu, Peguam AG Kalidas menghujahkan bahawa tiada bukti kukuh yang mengaitkan penglibatan 12 bekas UPNM ini mencederakan Zulfarhan.

Beliau berkata, sukar untuk membuktikan bahawa kesemua perayu ini mengambil bahagian memukul Zulfarhan kerana ketika kejadian terdapat hampir 50 penuntut mendiami asrama penginapan itu.

“Sukar untuk memastikan individu mana yang mengambil bahagian dan mana yang tidak terlibat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail selaku responden dalam rayuan silang ini berkata, dapatan hakim Mahkamah Tinggi menyatakan berlaku kecederaan terhadap Zulfarhan menunjukkan ia dilakukan oleh perayu-perayu ini.

Beliau menghujahkan bahawa, elemen pertuduhan telah dibuktikan, yang mana ia adalah berdasarkan kehilangan komputer riba sehingga menjurus kepada kejadian pukul.

“Tiada sebarang percanggahan material yang menunjukkan keterangan melimpah ruah terhadap semua perayu, melibatkan kecederaan kepada mangsa.

“Bagi kes pemerasan pula, mangsa dituduh mencuri dan kejadian mencederakan tubuh mangsa, berlaku bagi mendapatkan pengakuannya,” katanya.

Mahkamah sedang mendengar rayuan silang 12 bekas penuntut UPNM yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mensabit dan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap mereka kerana mencederakan Zulfarhan.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail; Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain; Ahmad Shafwan Berdal; Muhammad Amirul Asraff Mala; Luqman Hakim Shamsuri Agus; Muhammad Sufi Mohd Mustapha; Noriznan Izzairi Noor Azhar; Muhamad Ashraf Abdullah; Muhammad Danial Firdaus Azmir; Muhammad Hasif Ismail; Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Seramai 12 bekas penuntut ini didakwa mencederakan Zulfarhan di sebuah bilik blok penginapan Asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017 lalu.
Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap mereka, dengan ikat jamin RM7,000, dikekalkan.

Pendengaran rayuan bersambung Rabu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat