Marzuki pertahan kenyataan, jawab teguran Annuar Musa secara terbuka

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mempertahankan kenyataan-kenyataan yang dibuatnya mengenai kemelut dalam Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan beliau hanya mengemukakan pandangan berdasarkan fakta yang diketahuinya.

Reaksi itu dibuat susulan kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Tan Sri Annuar Musa, yang dalam satu sidang media menyebut terdapat dua individu dalam Bersatu yang gemar menulis perkara negatif dengan ulasan yang didakwanya tersasar.

Tanpa menamakan individu tersebut secara langsung, Marzuki berkata beliau percaya kenyataan itu merujuk kepadanya.

“Ada kawan hantar kepada saya video Tan Sri Annuar Musa menyebut nama saya dalam satu sidang media.

“Katanya hanya dua orang dalam Bersatu yang suka menulis perkara negatif dengan ulasan yang tersasar. Maksudnya sayalah tu. Seorang lagi saya tak tahu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Marzuki berkata beliau tidak mengetahui tulisan mana yang dianggap tersasar dan memilih untuk tidak mengulas perkara itu.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa setiap kenyataan yang dibuat bertujuan memperbetulkan fakta sekiranya terdapat naratif yang dianggap tidak tepat, khususnya yang boleh memberi kesan negatif kepada Bersatu.

“Jika ada kenyataan yang dibuat tidak betul, saya mesti nyatakan pandangan saya berdasarkan fakta-fakta yang saya tahu.

“Kerana jika saya tidak perbetulkan, ia akan menjadi satu naratif yang melekat pada pemikiran masyarakat, lebih-lebih lagi jika naratif tersebut memburukkan parti saya,” katanya.

Menurut beliau, adalah tidak munasabah untuk mengharapkan beliau berdiam diri apabila parti yang disokongnya diserang.

“Tak bolehlah. Takkanlah saya dihenyak kemudian saya diberitahu jangan lawan,” katanya.

Marzuki turut bersetuju dengan nasihat Annuar supaya setiap kenyataan dibuat secara bersukat, namun menegaskan itulah pendekatan yang diamalkannya selama ini.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan hanya mengandungi pandangan serta fakta yang diketahuinya tanpa menggunakan bahasa kesat atau menyerang peribadi mana-mana pihak.

“Yang saya nyatakan ialah pandangan saya, fakta yang saya tahu. Saya tidak memaki hamun sesiapa atau menggunakan kata-kata kesat terhadap sesiapa.

“Ini ‘sukatan’ saya apabila membuat kenyataan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan tetap menghormati Annuar sebagai pemimpin yang lebih senior dan menyifatkan perbezaan pandangan tidak seharusnya menjejaskan hubungan sesama pemimpin parti.

“Apapun saya tetap hormat kepada Tan Sri Annuar Musa sebagai orang yang lebih tua daripada saya.

“Untuk berlaku adil, beliau juga tidak menyerang peribadi saya. Beliau cuma mengulas kenyataan saya. That’s fine with me,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat